Bola sepak Thailand akan lebih baik dibawah pimpinan Madame Pang

83

Setiausaha Agung Chonburi FC, Thitigorn Artwarin nyata gembira dengan pelantikan Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) iaitu Nualphan Lamsam atau lebih dikenali dengan panggilan Madame Pang.

Menurut Thitigorn Artwarin, banyak perkara yang baik berlaku sejak Madame Pang mengambil alih jawatan tertinggi dalam badan induk bola sepak di negara itu dan salah satunya adalah bayaran hak penyiaran untuk setiap kelab.


“Banyak perkara baik berlaku dan saya juga mendapat tahu bahawa musim depan setiap kelab di Thai League 1 akan mendapat bayaran hak penyiaran berjumlah 10 juta Thai Baht (sekitar RM1.29 juta) jadi ia merupakan berita baik buat semua.

Apabila beliau (Madame Pang) dilantik sebagai Presiden FAT ia sangat bagus kerana banyak perkara baik berlaku,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, walaupun presiden seorang wanita namun beliau mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan apa sahaja masalah yang berlaku sekaligus dapat tingkatkan bola sepak di negara itu.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan Chonburi yang kini sedang bergelut di zon penyingkiran dek masalah kewangan, Thitigorn Artwarin berkata mereka akan tetap memberikan yang terbaik untuk baki dua perlawanan liga.

Jelasnya lagi, biarpun mereka terpaksa menjual pemain-pemain utama pada pusingan kedua liga sebelum ini tapi mereka sentiasa membayar gaji tepat pada waktu.

“Kami sentiasa bayar gaji tepat pada masanya setiap bulan. Kami akan cuba cari duit untuk bayar gaji pemain kerana ini adalah polisi kelab di mana tiada tunggakan gaji pemain.”

Biarpun sedar tugas berat menanti mereka, Thitigorn Artwarin tetap bersikap optimis dan terbuka sekiranya mereka gagal dan tersingkir ke Thai League 2 musim depan.