FIFA dan AFC lebih penting biarpun AFF tawarkan wang hadiah tinggi
Tidak dapat dinafikan kejohanan anjuran Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) tidak lagi menjadi keutamaan negara-negara di rantau ini berbanding sebelum ini yang mana Piala AFF sering menjadi tumpuan.
Ini kerana sebelum ini Piala AFF merupakan satu kejohanan yang cukup besar di rantau Asia Tenggara yang mana setiap negara akan menghantar skuad terkuat untuk cuba menjulang trofi itu untuk diberi gelaran sebagai Raja ASEAN.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Piala AFF sudah hilang ‘seri’ apabila majoriti negara hanya menghantar skuad junior untuk beraksi dalam kejohanan itu kerana mahu skuad senior fokus pada aksi melibatkan FIFA dan AFC.
Perkara itu turut diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin yang berkata era sudah berubah.
“Kita perlu tahu bahawa statut dan peraturan berubah setiap lima tahun, bukan sahaja di FAM tapi di AFC dan juga FIFA.
Sebagai contoh dulu masa Sukan SEA, Zainal Abidin main tapi selepas beberapa waktu skuad B-23 yang main kerana dalam bola sepak global kena bagi keutamaan kepada skuad kebangsaan, skuad B-23, B-19 dan B-17 untuk dapat pendedahan.
Jadi sama juga AFF, kita kena tahu bahawa AFF tiada masa dan ruang untuk bermain dalam kalendar FIFA atas sebab-sebab tertentu. Kita sudah cuba buat tapi tak boleh kerana kita kena tahu bahawa kalendar FIFA tidak dibuat untuk ASEAN sahaja tapi untuk seluruh dunia seperti UEFA, CONCACAF dan CONMEBOL,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Jelas Hamidin lagi, kejohanan AFF memerlukan tempoh selama hampir sebulan oleh itu ia tidak dibenarkan oleh FIFA.
Hamidin berkata dengan perubahan struktur dan peraturan sedikit sebanyak membuatkan AFF kurang relevan biarpun kejohanan itu menawarkan wang hadiah yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.