SRG sudah bersedia untuk wakili Malaysia ke MSC – Yums

240

Pemain e-sukan Selangor Red Giants (SRG), Yums memberitahu bahawa pasukannya sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan ‘play-off’  Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-13 bagi merebut tiket ke MSC Riyadh 2024.

Menurut Yums, walaupun saingan MPL MY sedang berehat selama tiga minggu namun pasukan SRG hanya cuti untuk tempoh yang singkat sebelum kembali turun berlatih untuk buat persiapan.


“Kami hanya cuti sebentar dan kami sudah membuat persiapan rapi untuk ‘play-off’ nanti dan sasaran kami adalah untuk menjadi menang nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Yums turut menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan SRG untuk menjuarai MSC sekiranya mereka berjaya layak ke kejohanan itu nanti.

Dalam pada itu, MPL MY musim ke-13 menyaksikan SRG telah mengejutkan ramai apabila berjaya mengekalkan rekod bersih kemenangan sepanjang musim ini biarpun pasukan mereka terdiri daripada pemain-pemain baru.

Terdahulu ketua pasukan SRG sendiri iaitu Simon Lim turut terkejut dengan prestasi luar biasa yang dipamerkan oleh pasukannya dan berkata mereka akan buat kejutan pada aksi ‘play-off’ nanti.

Sementara itu, Yums turut hadir pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana mahu memberi sokongan kepada ‘keluarga’ iaitu Selangor FC yang turun menentang Kedah Darul Aman FC yang berkesudahan dengan kemenangan menjadi milik tuan rumah.

“Saya sudah anggap Selangor FC sebagai keluarga saya.”