Bola tampar pantai Terengganu sasar pingat emas di SUKMA 2024

319

Pengurus pasukan bola tampar pantai SUKMA Terengganu iaitu Amalul Asyraf Rosli berkata mereka meletak sasaran untuk meraih pingat dalam kejohanan itu nanti.

Menurut Amalul, sasaran itu diletak berdasarkan persedian rapi yang dibuat pasukan selain sokongan daripada pelbagai pihak.


“Secara peribadi tanya saya sebagai pengurus pasukan dengan persedian dan sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya daripada Majlis Sukan Terengganu (MST) sebenarnya kita sasarkan pingat emas.

Namun demikian, kita akan pergi ‘step by step’ yang mana kita perlu fokus satu per satu supaya sasaran kita dapat direalisasikan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bahang SUKMA (Sukan Malaysia) yang bakal berlangsung di Sarawak pada bulan Ogos depan semakin dirasai dengan setiap negeri kini sedang membuat persiapan rapi.

Dalam pada itu, Amalul yang juga merupakan Ketua Pembangunan Bola Tampar Pantai Malaysia turut gembira dengan perkembangan sukan itu ketika ini apabila sambutan yang diterima semakin memberangsangkan.

Beliau pada masa sama turut teruja melihat sokongan padu yang diberikan oleh ibu bapa terhadap anak mereka yang menyertai sukan bola tampar pantai.

“Sambutan daripada ibu bapa saya melihat secara umumnya bertambah baik berbanding dengan sebelum ini.

Untuk makluman pada bulan April lalu kita ada kejohanan B-19 di Thailand di mana atlet kita terdiri daripada pelajar sekolah dan ibu bapa turut menemani anak mereka ke kejohanan tersebut sehingga habis kejohanan.”

Tambahnya lagi, sokongan positif daripada ibu bapa ini akan menyumbang kepada perkembangan positif sukan itu untuk masa hadapan.