Sharbinee Allawee kembali berbakti di negeri sendiri
Biarpun sudah bersara sebagai pemain bola profesional, namun bekas penjaga gol sensasi kebangsaan Sharbinee Allawee masih lagi terus terlibat dalam dunia bola sepak dengan kini beliau kembali menabur bakti di negeri sendiri.
Menurut Sharbinee, beliau kini merupakan salah seorang jurulatih di sekolah projek sukan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri (SMKIF).
“Sekarang ini saya menjadi jurulatih untuk sekolah projek Ibrahim Fikri yang merupakan sekolah dibawah Majlis Sukan Negeri (MSN).
Dalam masa sama saya juga ada tolong sikit-sikit dengan pasukan Terengganu FC II,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Sharbinee memulakan karier profesionalnya sebagai pemain bola sepak bersama pasukan Piala Presiden Terengganu pada tahun 2003 sebelum diserap masuk ke pasukan utama pada tahun 2006.
Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh penjaga gol kelahiran Kuala Terengganu itu menyaksikan beliau telah dipanggil untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan di mana beliau merupakan antara tonggak utama yang menyumbang pingat emas pada Sukan SEA 2009.
Pada tahun 2010 beliau sekali lagi berjaya mencipta sejarah bersama Harimau Malaya apabila mereka akhirnya berjaya menjulang Piala AFF buat pertama kali selepas menewaskan musuh tradisi Indonesia.
Selain bermain bersama Terengganu (2006-2012/2014-2017), beliau juga pernah bermain untuk pasukan besar lain seperti Selangor (2013-2014), Kuala Lumpur (2018-2019), Pahang (2020) dan Sarawak United FC (2021-2022).