Aksi cemerlang Syafiq Ahmad pikat KPG untuk kembali panggil beliau sarung jersi Harimau Malaya
Pengumuman yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tanah air akhirnya terjawab juga apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon ke kem latihan pusat Harimau Malaya.
Apa yang menarik adalah penyerang sensasi Kedah Darul Aman FC (KDA) iaitu Syafiq Ahmad akhirnya kembali dipanggil untuk menyertai kem negara yang akan bermula pada 27 Mei ini.
Ini membuktikan bahawa kerja keras yang dilakukan oleh Syafiq sepanjang pra musim dan dua perlawanan Liga Super baru-baru ini telah berjaya memikat hati Pan-gon untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Syafiq sebelum ini yang merupakan tonggak negara ketika kelayakan Piala Asia 2023 tidak dipanggil untuk memperkuatkan pasukan ketika kejohanan Piala Asia yang berlangsung di Doha, Qatar awal Januari lalu.
Namun dengan semangat juang tinggi dan tidak mudah putus asa, Syafiq telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke KDA musim 2024/25 dengan sasaran untuk mendapatkan minit permainan semaksimum yang mungkin kerana mahu kembali bermain untuk negara.
Bak kata pepatah ‘Usaha tidak pernah khianati hasil’ dan Syafiq telah membuktikannya.
Selain Syafiq, pemain baru lain yang dipanggil adalah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC), Adib Ra’op (Penang FC), Feroz Baharudin (Johor Darul Ta’zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC) dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC).
Dalam pada itu, berdasarkan senarai 26 pemain yang dipanggil, pengendali dari Korea Selatan mengekalkan 16 daripada 24 pemain dari skuad bagi dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman dan 21 dan 26 Mac lalu.
Bintang sensasi Arif Aiman, Faisal Halim, Azam Azmi dan Romel Morales merupakan antara empat pemain yang tidak dapat bersama pasukan dek masalah kecederaan.
Pan-gon kini dalam misi getir apabila beliau perlu mempersiapkan pasukan yang mantap untuk aksi menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menentang Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.
Skuad negara perlu menang dalam kedua-dua perlawanan itu sekiranya mahu layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027.
Selain 26 pemain yang dipanggil, Pan-gon turut menyenaraikan 22 pemain dalam senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan.