Saya belum dapat banyak peluang untuk jaringkan gol lagi, apa yang penting kami menang – Ismahil Akinade
Pemain import Terengganu FC (TFC), Ismahil Akinade memberitahu prestasinya selepas dua perlawanan tidak terlalu baik dan tidak terlalu bagus namun beliau tidak terlalu memikirkan mengenai dirinya sendiri sebaliknya berkata apa yang penting adalah pasukannya mendapat keputusan positif dalam setiap perlawanan.
“Saya tidak rasa prestasi saya bagus atau tidak bagus. Seperti yang saya katakan sekiranya kita dapat cipta banyak peluang kitab oleh jaringkan gol.
Melihat kepada dua perlawanan sebelum ini, saya tidak mendapat banyak peluang untuk jaringkan gol tapi apa yang penting bagi saya adalah pasukan.
Jika kita menang dan dapat keputusan positif saya tolak ketepi diri sendiri dan sanggup turun naik untuk bantu pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menjelang perlawanan ketiga liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Akinade mahukan pasukannya memperoleh kemenangan apabila menentang bekas pasukannya Kelantan Darul Naim FC (KDN) hari ini.
Menurutnya, mereka mahukan kemenangan sebelum saingan liga berehat buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan.
“Harap kita boleh dapatkan keputusan esok sebelum liga berehat supaya tidak perlu memikirkan tentang keputusan buruk sebelum itu.
Saya sangat yakin dengan pemain-pemain yang kita ada sekarang ini, jadi alangkah baiknya jika kita menang esok. Lebih baik lagi jika saya dapat jaringkan gol.”
Tambahnya lagi, sasaran pasukan ketika ini adalah untuk terus kekal berada di kelompok teratas liga.
Dalam pada itu, beliau tidak melihat jumlah peminat yang ramai esok akan memberikan beliau dan rakan sepasukannya tekanan untuk memberikan aksi terbaik, sebaliknya kehadiran peminat akan memberikan mereka tonik tambahan kerana tidak mahu kecewakan peminat yang turun ke stadium.
“Ia seperti ‘boost’ semulajadi apabila kehadiran ramai peminat bersorak untuk anda jaringkan gol dan menang, jadi insyaAllah kami boleh dapatkan tiga mata dan harap saya dapat jaringkan gol juga.”
TFC kini mengumpul empat mata selepas dua perlawanan sekaligus meletakkan mereka di kedudukan kedua Liga Super di belakang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan perbezaan dua mata.