Kita berdepan situasi sukar ketika ini – Kim Pan-gon
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon mengakui berdepan situasi sukar ketika ini dalam mempersiapkan pasukan menjelang dua perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.
Ia susulan ketiadaan beberapa tonggak utama seperti Faisal Halim, Arif Aiman dan terbaru Syafiq Ahmad akibat kecederaan.
“Situasi yang cukup sukar. Dengan kes Faisal Halim, kecederaan Arif Aiman, Syafiq Ahmad hamstring dan Romel Morales kecederaan buku lali.
Ketika ini kami juga sedang melihat kecederaan hamstring yang dihadapi oleh Darren Lok sekaligus menyaksikan bahagian serangan kita berdepan masalah,”
katanya.
Pan-gon bagaimanapun berkata beliau masih mempunyai ramai pemain untuk dipilih dan akan cuba persiapkan pasukan untuk dua perlawanan penting itu dengan semangat juang yang tinggi.
“Kami tidak akan pernah ‘tunduk’ dan akan kekal positif serta akan terus berjuang demi Malaysia.”
Dalam pada itu, pengendali berasal daripada Korea Selatan ini berkata biarpun siangan Liga Super sudah berjalan, namun pemain-pemain masih belum berada pada tahap kecergasan sepenuhnya.
“Ya liga sudah bermula tapi ada pasukan yang baru bermain tiga perlawanan dan ada yang bermain dua perlawanan sahaja jadi bagi saya pemain masih belum berada pada tahap kecergasan 100% lagi.”
Sementara itu, beliau mengakui ketiadaan Faisal dan Arif akan memberi kesan kepada bahagian serangan tetapi beliau berkata dalam bola sepak kita tidak boleh terlalu mengharap kepada beberapa individu kerana ia adalah sukan berpasukan.
“Sudah pasti dalam teori serangan kita akan menurun tapi bola sepak adalah sukan berbeza yang mana kita tidak bergantung kepada satu atau dua pemain sahaja.
Kita bermain sebagai pasukan jadi saya percaya pemain-pemain lain juga mempunyai kualiti.”
Skuad Harimau Malaya akan menentang Republik Kyrgyz pada 6 Jun ini di tempat lawan sebelum melayan kunjungan Chinese Taipei pada 11 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.