KPG harap Adid Raop dan Engku Shakir akan gunakan peluang yang diberi sebaik mungkin untuk ke ‘next level’

58

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon mahu dua pemain yang baru dipanggil iaitu Adib Raop dan Engku Shakir menggunakan peluang yang diberikan untuk tunjukkan kemampuan sebenar mereka.

Menurut Pan-gon, beliau dan barisan kejurulatihan sudah memantau kedua-dua pemain ini sejak musim lalu lagi dan kagum dengan prestasi yang dipamerkan mereka sepanjang saingan liga


“Mengenai Adib kita sudah pantau beliau sejak dari musim lalu yang mana beliau bermain di posisi sayap dan kadang kala bermain di posisi pertahanan. Kami sememangnya mencari pemain yang mempunyai kelajuan, kekuatan dan agresif.

Permainan beliau sangat sesuai dengan corak permainan yang kita mahu dan kita cuma tunggu masa sesuai sahaja untuk panggilnya. Aksinya dalam dua perlawanan musim ini cukup hebat dan pemain seperti ini mampu bantu pasukan,”

katanya.

Pan-gon pada masa sama turut berkata perkara sama tentang pemain muda Engku Shakir.

“Kami sudah pantau Engku Shakir sejak dua tahun lalu yang mana pemain ini mempunyai corak permainan agresif sekaligus menepati apa yang kita mahukan dalam pasukan jadi dengan peluang yang diberikan ini mereka akan guna sebaik-baiknya untuk ke ‘next level’.”

Terdahulu, pemain Penang FC dan Terengganu FC itu menjadi bualan ramai selepas mereka tersenarai dalam 26 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menentang Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pasukannya tidak dapat mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum terbang ke Republik Kyrgyz kerana tiada pasukan yang ada, oleh sebab itu mereka mungkin akan bertemu dengan kelab tempatan.

Pengendali daripada Korea Selatan itu juga turut meluahkan rasa bersyukur dan terima kasihnya kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin yang berusaha untuk tunaikan permintaannya.

“Saya mahu guna peluang ini untuk ucapkan terima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin kerana menyediakan penerbangan carter untuk mengurangkan tempoh perjalanan pasukan.”

Jelasnya lagi, FAM sentiasa akan buat yang terbaik dan tunaikan apa sahaja permintaannya dan sekiranya mereka mampu, pasti permintaan itu akan ditunaikan.