Persiapan atlet berbasikal trek berjalan dengan lancar – Hamidin
Chef de Mission (CDM) kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Olimpik 2024 Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin gembira melihat persiapan atlet-atlet berbasikal trek negara yang berjalan dengan lancar ketika ini.
“Semua sudah bersedia dan tiada sebarang masalah setakat hari ini dan mereka kini sedang bersedia untuk pergi ke Belgium kemudian ke Sepanyol sebelum ke Paris untuk temasya Olimpik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Hamidin berkata demikian selepas membuat tinjauan persiapan pasukan berbasikal trek Malaysia ke temasya Olimpik di Velodrome Nasional Nilai semalam.
“Saya ambil kesempatan untuk melihat tiga atlet berbasikal kita iaitu Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus dan Izzah.
Tujuan saya hari ini adalah untuk tengok mereka berlatih dan juga melihat jika ada apa-apa keperluan lagi bersama jurulatih dan Alhamdulillah mereka semua sudah bersedia.”
Beliau pada masa sama turut meminta semua untuk mendoakan kesihatan atlet-atlet negara supaya mereka berada dalam keadaan terbaik untuk temasya itu nanti.