Annuar Musa harap TRW Kelantan FC diserahkan semula kepada KAFA

51

Bekas Presiden Kelantan FA (KAFA), Tan Sri Annuar Musa meluahkan rasa sedih dan kecewanya apabila pasukan TRW Kelantan FC menarik diri daripada saingan Liga A1 pada musim ini kerana mahu menyelesaikan isu dalaman terlebih dahulu.

Dalam kenyataan rasmi kelab itu, fokus mereka ketika ini adalah untuk menyelesaikan baki gaji pemain musim lepas yang masih tertunggak selain mahu menyelesaikan kes-kes FIFA bagi memberishkan nama baik pasukan itu.


Menurut Annuar dalam kenyataan di media sosialnya, tindakan kelab mengambil keputusan untuk menarik diri dari liga akan menyebabkan mereka hilang hak untuk bermain di liga untuk masa akan datang.

“Setahu saya keengganan ini bererti TRW bakal hilang hak untuk bermain di liga masa akan datang dan perlu memohon semula seperti pasukan yang baru diwujudkan. Ia tidak automatik.

Jika demikian saya amat sedih dan kesal dengan situasi ini. Mematikan memang mudah, nak memajukan perlu bertahun lamanya.”

tulisnya.

Oleh itu, beliau melontarkan cadangan supaya TRW diserahkan semula kepada KAFA dengan satu nilai ‘token’ supaya ia dapat diselamatkan dari terkubur terus.

“Janganlah di talkinkan TRW.”

Terdahulu TRW tidak diberikan Lesen Kebangsaan untuk terus beraksi dalam saingan Liga Super selepas mereka gagal menyelesaikan tunggakan gaji dalam tempoh yang ditetapkan.

Mereka bagaimanapun dikatakan akan menyertai saingan liga semi-profesional anjuran Amateur Football League (AFL) Liga A1 (Liga M3) tapi kemudian mengambil keputusan untuk menarik diri.

Biarpun ramai peminat yang kecewa dengan penarikan diri TRW, namun mereka masih boleh menarik nafas lega kerana mereka masih mempunyai sebuah lagi kelab yang beraksi di Liga Super ketika ini iaitu Kelantan Darul Naim FC (KDN).