Saya tak mahu komen tentang surat layang kerana bimbang akan ganggu siasatan – Aseh Che Mat

162

Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dr. Aseh Che Mat memberitahu beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan dalam surat layang disebarkan baru-baru ini kerana tidak mahu menganggu siasatan.

Menurut Dr. Aseh Che Mat, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan memaklumkan dapatan dari siasatan.


“Saya sudah sebut tadi, SPRM sudah selesai sebab sudah ada siasatan selepas laporan dibuat dan kertas siasatan diberikan kepada DPP jadi perkara itu sudah tutup.

Kita juga minta pihak polis siasat siapa yang tulis surat layang ini dan ramai orang telah dipanggil dalam proses itu dan siasatan masih berjalan dan belum selesai.

Jadi saya tidak mahu komen lebih lanjut perkara ini sebab kalau saya komen nanti ia boleh menganggu siasatan,”

katanya.

Tambahnya lagi, beliau serahkan kepada Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) selesaikan siasatan dan dedahkan dapatan yang pihaknya perolehi daripada siasatan tersebut.

Dalam pada itu, Dr. Aseh Che Mat pada masa sama turut berkata susulan kontroversi surat layang itu pihaknya telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan jawatankuasa khas untuk melihat setiap dakwaan tersebut untuk dinilai samada ianya benar atau tidak.

“Atas inisiatif dan kesedaran yang wujud dalam kalangan Exco FAM sendiri sebab yang ditekankan dalam surat layang itu dua personaliti utama iaitu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman.

Jadi Timbalan Presiden iaitu Datuk S. Sivasundaram dan beberapa orang utama dalam FAM ini melihat kepada semua isu-isu yang ditulis untuk dilihat kalau betul dan dalam masa yang sama mencadangkan kalau betul ada benda tak kena supaya ia dapat diperbetulkan dengan segera kerana kita tidak mahu isu ini dipanjangkan.”

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Seminar Integriti FAM bersama wakil persatuan bola sepak negeri yang terdiri daripada gabungan FAM, MFL (Malaysian Football League) dan AFL (Amateur Football League).