Padang SNBJ sangat memuaskan, harap 80,000 penyokong turun pada aksi menentang Chinese Taipei – Noor Azman

59

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memberitahu bahawa padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) ketika ini berada pada tahap yang sangat memuaskan dan sudah bersedia untuk digunakan dalam perlawanan menentang Chinese Taipei nanti.

“Setakat ini padang dekat SNBJ amat memuaskan dan kita berpuas hati dan saya rasa stadium juga sudah bersedia dan kita juga telah mengadakan mesyuarat LOC dan mesyuarat jawatankuasa keselamatan bagi memastikan keselamatan terjaga.

Kita jangkakan penyokong akan ramai turun pada perlawanan menentang Chinese Taipei, jadi untuk persiapan stadium memang kita berpuas hati,”

katanya.

Menurut Noor Azman, pihaknya juga berharap agar perlawanan itu nanti akan dibanjiri oleh 80,000 penyokong untuk beri sokongan kepada pasukan kebangsaan.


Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon akan menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menentang Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.

Tidak hanya berdepan misi sukar iaitu wajib menang dalam kedua-dua perlawanan sekiranya mahu mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027, skuad negara kini tempang apabila ramai tonggak utama mengalami kecederaan.

Lebih membimbangkan lagi apabila skuad negara tidak dapat mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa sebaliknya hanya akan bertemu dengan kelab Liga Super sebagai persiapan sebelum terbang ke Republik Kyrgyz.

“Kita sedar mengenai perkara itu dan untuk makluman kita sudah mohon kepada empat ke lima negara untuk perlawanan persahabatan tapi masalahnya semua tak dapat kerana ia bukan dalam kalendar FIFA.

Jadi kita terpaksa atur perlawanan dengan kelab tempatan dan saya rasa cukup. Kita sudah berusaha tetapi tak dapat.”

Beliau pada masa enggan mengulas lanjut mengenai beberapa pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya masih belum melapor diri dan berkata perkara tersebut perlu ditanya kepada ketua jurulatih.