Bermain di M6 adalah sasaran utama kerana mahu tebus kesilapan di M5 – Xorn
Pemain pasukan e-sukan MLBB Homebois, Xorn memberitahu bahawa beliau tidak akan bersara dari dunia e-sukan lagi kerana sasaran beliau ketika ini adalah untuk bermain di M6.
“Saya akan terus bermain sebab saya rasa M6 antara sasaran utama yang saya boleh ‘join’ sekali lagi untuk tebus kesilapan saya di M5, jadi itu adalah salah satu semangat untuk saya teruskan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Xorn berkata demikian selepas tamat perlawanan Grand Final Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) untuk musim ke-13 yang menyaksikan pasukannya tewas 4-2 kepada Selangor Red Giants (SRG).
Menurutnya, fokus pasukan terjejas di penghujung perlawanan menyebabkan mereka terpaksa akur dengan kekuatan SRG.
“Kemungkinan besar kami punya ‘mindset’ terganggu pada perlawanan kelima dan keenam jadi itu salah satu punca kami jadi teragak-agak untuk buat sesuatu keputusan.”
Biarpun tidak berjaya layak ke MSC 2024 secara automatik namun Homebois masih berpeluang untuk ke Riyadh, Arab Saudi apabila mereka mendapat slot ‘wildcard’ untuk merebut slot ke kejohanan itu.
“Secara jujurnya kami memang tidak sabar nak main di MSC kerana salah satunya kerana wang hadiahnya yang besar, jadi kami akan bermati-matian untuk rebut slot ke MSC.
Kami juga akan mencari kelemahan ketika menentang SRG dan saya yakin kita mampu bersaing dengan pasukan-pasukan ‘wildcard’ lain.”
Sementara itu, Xorn turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga dan juga peminat-peminat Homebois yang sentiasa berada di belakang mereka dalam apa jua keadaan.