Tak juara bukan pengakhiran untuk hidup, perjalanan masih panjang – Daddyhood
Pengasas pasukan e-sukan popular Homebois, Daddyhood mengakui berasa sedikit kecewa apabila mereka gagal mempertahankan kejuaraan selepas tewas pada perlawanan Grand Final Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) untuk musim ke-13 kepada Selangor Red Giants (SRG) 4-2.
Menurut Daddyhood, biarpun sedih tetapi beliau tetap optimis kerana ia bukan pengakhiran kerana perjalanan mereka masih panjang.
“Tipulah kalau tak kecewa atau sedih cuma saya beritahu mereka kita okey untuk sedih tapi jangan terlalu kecewa sebab perjalanan masih panjang.
Tak juara bukan pengakhiran untuk hidup kerana kita pun bermula dengan tidak baik pada awal penglibatan kami di musim ketujuh dan sampai hari kita sudah jadi antara calon Grand Finalist atau ‘powerhouse’ yang boleh bagi saingan jadi saya gembira dengan apa yang sudah dicapai ketika ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, biarpun tewas namun Homebois masih berpeluang untuk ke MSC 2024 yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi nanti apabila mereka akan bermain di peringkat ‘wildcard’ untuk merebut slot ke kejohanan itu.
Ini merupakan kali kedua Homebois akan beraksi di peringkat antarabangsa oleh itu Daddyhood berkata beliau sudah membuat perancangan rapi.
“Ini kali kedua kita akan ke peringkat antarabangsa. Kali pertama ketika di M5 memang teruk dan lambat ‘reset’ jadi kita sudah ada pengalaman jadi kita tahu cara kat mana kita nak kutip seberapa banyak mata yang boleh dan kita sudah buat persiapan.”