Program naturalisasi kelab akan ‘bunuh’ peluang pemain tempatan?

332

Malam semalam dunia bola sepak tempatan hangat diperkatakan apabila dua pemain Sri Pahang FC, Lee Tuck dan Sergio Aguero telah disahkan menjadi pemain naturalisasi baru.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar yang menjelaskan bahawa proses tersebut bukanlah sebahagian daripada projek naturalisasi oleh FAM, sebaliknya ia adalah usaha oleh pihak kelab sendiri yang mahu daftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia.


Terdahulu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menangguhkan sementara program naturalisasi membabitkan skuad Harimau Malaya, tetapi membenarkan kelab-kelab di liga meneruskan pengambilan pemain naturalisasi.

Peminat melihat keputusan FAM membekukan program naturalisasi tapi membenarkan kelab berbuat demikian adalah satu keputusan yang ‘mengelirukan’.

Ini kerana pemain-pemain yang dinaturalisasikan oleh kelab akan menerima IC Biru sekaligus melayakkan mereka menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan.

Keputusan tersebut dilihat seperti FAM cuba mengelak dari dipersalahkan sekiranya seseorang pemain yang dinaturalisasikan oleh kelab dipanggil untuk sertai skuad negara tidak memberikan persembahan terbaik kerana ia bukan dari program naturalisasi FAM sendiri.

FAM sepatutnya meletakkan syarat dan kriteria yang ketat untuk sesebuah kelab mahu menaturalisasikan seseorang pemain import sebagai contoh hanya boleh menaturalisasikan pemain berusia bawah 30 tahun.

Program naturalisasi ini diperkenalkan kerana mahu skuad negara mencapai kejayaan dalam tempoh yang singkat, namun ia ternyata gagal dan sepatutnya dihentikan terus.

FAM telah merestui permohonan Sri Pahang untuk menaturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Jika program naturalisasi kelab ini dibiar telah berleluasa tidak mustahil satu hari nanti kesebelasan utama pemain skuad kebangsaan akan dibarisi oleh pemain-pemain naturalisasi dan pemain tempatan akan tersisih.

Memandangkan FAM menangguhkan program naturalisasi negara, dan membenarkan kelab teruskan program itu, pemain itu sepatutnya diberikan IC Merah iaitu sebagai penduduk tetap yang boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan tetapi tidak boleh mewakili Malaysia.

Ambil contoh seperti pelakon popular Aaron Aziz. Walaupun beliau sudah berkecimpung dalam dunia seni tanah air lebih sedekad namun beliau hanya mendapat IC Merah sebagai penduduk tetap dan bukannya IC Biru.

Sememangnya naturalisasi ini ada baiknya tetapi ia mempunyai keburukan yang cukup banyak terutamanya kepada pemain tempatan.

Sebagai contoh kelab Pahang kini mempunyai lima import iaitu Manuel Hidalgo, Mamadou Samassa, Mahmoud Za’tara, Johan Martial dan Billy Ketkeophomphone.

Mereka turut mempunyai dua pemain warisan iaitu David Rowley dan Nicholas Swirad. Kini ditambah dengan Lee Tuck dan Sergio Aguero menjadikan kesebelasan utama Pahang dibarisi 80 peratus bukan pemain tempatan.

Pemain tempatan sudah pun terkesan dengan pengenalan kuota lima pemain import sejak beberapa musim lalu, kini ditambah pula dengan pemain naturalisasi membanjiri liga tempatan.

Apa akan jadi pada nasib pemain-pemain tempatan selepas ini?