Kita banyak bakat bola sepak wanita tapi kurang kejohanan – Mohd Fairuz
Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita MBSJ FC, Mohd Fairuz berharap lebih banyak lagi kejohanan-kejohanan bola sepak wanita dapat dianjurkan kerana negara mempunyai ramai bakat tetapi kekurangan kejohanan.
“Sepanjang lebih 12 ke 13 tahun dalam bola sepak wanita saya hanya mengharapkan banyak lagi kejohanan-kejohanan kompetitif untuk wanita ini.
Sebenarnya kita ada bakat tetapi kita kurang kejohanan untuk wanita,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, pentingnya untuk ada liga yang bagus adalah untuk membentuk dan menentukan hala tuju seseorang pemain bola sepak.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai persiapan pasukannya menjelang perlawanan akhir FAS Women’s Super League (WSL) menentang UiTM United Lioness pada hujung minggu ini, Fairuz berkata kesemua pemainnya sudah bersedia.
“Setakat ini Alhamdulillah saya yakin dengan anak buah saya dalam keadaan kekuatan fizikal dan mental mereka cukup bersedia.
Sebelum ini kita pernah tewas kepada UiTM di peringkat separuh akhir Piala FA tapi kali ini kita bertemu lagi buat kali ketiga jadi saya harap kesemua pemain bersedia, insyaAllah.”
Fairuz pada masa sama juga berkata beliau tidak pernah menganggap pasukannya sebagai pasukan pilihan biarpun di atas kertas sememangnya MBSJ adalah pasukan pilihan untuk menjadi juara.
“Saya tak pernah anggap pasukan MBSJ adalah pasukan terbaik. Saya selalu pesan kepada semua pemain ‘kalau kamu menjadi yang terbaik, anda perlu tunjuk ketika di atas padang’, jangan atas kertas sahaja.
Semua orang boleh bercakap, semua orang boleh menilai serta boleh meletakkan status kepada sebuah pasukan tapi saya tak pernah menganggap MBSJ adalah pasukan terbaik dalam Selangor.”