Tiada tekanan jadi pasukan pilihan tapi teruja dan harap dapat kekalkan kejuaraan – Steffi Sidhu
Ketua pasukan bola sepak wanita MBSJ FC, Steffi Sidhu berkata dilabel sebagai pasukan pilihan tidak memberikannya tekanan sebaliknya beliau lebih teruja untuk perlawanan akhir liga FAS Women’s Super League (WSL) menentang UiTM United Lioness hujung minggu ini.
“Bagi saya ia bukan tekanan tapi saya rasa ia akan menjadi perlawanan yang cukup menarik kerana ini adalah perlawanan ketiga kami bertemu UiTM jadi saya harap kali ini dapat kemenangan lagi dan mengekalkan kejuaraan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Steffi, pasukannya banyak belajar daripada kekalahan kepada UiTM pada separuh akhir Piala FA baru-baru ini dan harap segala latihan yang mereka lakukan dapat diterapkan dalam perlawanan nanti.
“Kita banyak belajar kesilapan kami dan cuba memperbaiki kelemahan dan kekurangan dalam latihan jadi saya harap apa yang kita belajar dalam latihan kita dapat terapkan dalam perlawanan pada hari Ahad ini.”
Dalam pada itu, Steffi juga melihat kebanyakan pasukan yang bersaing dalam FAS WSL adalah pasukan yang bagus dan bukannya pasukan ‘underdog’.
Oleh itu beliau melihat situasi ini sebagai sesuatu yang cukup bagus kerana dengan saingan liga yang semakin panjang, setiap pasukan dapat tingkatkan lagi prestasi pasukan masing-masing.
Sementara itu, Steffi yang juga merupakan ketua pasukan kebangsaan Malayan Tigress menasihati kepada pemain-pemain muda yang masih bersekolah supaya turut memberi perhatian kepada pelajaran.
“Bagi saya pemain harus seimbangkan, kalau anda boleh belajar dan bermain bola sepak pada waktu yang sama, sila lakukan kerana bagi saya pelajaran sangat penting.
Jangan tinggalkan pelajaran sebab nak main bola.”