Chinese Taipei mahu guna pemain warisan tapi tak nak pemain yang tak tahu lagu kebangsaan – Gary White
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Chinese Taipei, Gary White memberitahu mereka mahu mengikut jejak langkah Malaysia yang menggunakan ramai pemain warisan untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan mereka.
Menurut White, Persatuan Bola Sepak Chinese Taipei (CTFA) sememangnya sedang dalam proses untuk mencari pemain warisan kerana mereka perlukan kualiti untuk memperkuatkan pasukan.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya tidak akan melupakan pemain-pemain tempatan kerana mereka tidak mahu pemain yang mewakili negara tidak tahu menyanyi lagu kebangsaan.
“Ya ia dalam sebahagian perancangan kami di mana kami sedang berhubung dengan ramai pemain kerana orang Chinese Taipei berada di merata dunia seperti Amerika Syarikat dan Jepun, jadi kami mahu ikut jejak langkah Malaysia kerana kami perlukan kualiti.
Pada masa sama kami juga perlu fikirkan tentang pemain tempatan kerana kami tidak mahu pemain dalam pasukan kami tidak tahu menyanyi lagu kebangsaan dan tidak tahu bercakap dalam bahasa kami jadi kami mahu gabungan antara kedua-dua pemain tempatan dan warisan,”
katanya.
Tambahnya lagi, apa yang bagus mengenai Chinese Taipei adalah mereka mewajibkan setiap orang menjalani Perkhidmatan Tentera sekaligus boleh menjadikan seseorang itu mempunyai semangat patriotik tinggi.
White berkata demikian selepas pasukannya tewas 3-1 kepada Malaysia dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Dalam pada itu, White berharap pasukannya dapat bertemu dengan Malaysia lagi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 nanti.
“Saya harap kita dapat bertemu dengan Malaysia lagi kerana ia menarik untuk kembali ke sini dan bermain menentang mereka.
Bagi kami Piala Asia sangat besar jadi kami sangat teruja untuk cuba layak buat pertama kali dalam sejarah ke kejohanan itu, jadi kami perlu belajar daripada situasi ini yang mana kami banyak lepaskan peluang termasuk kesilapan mudah dan ini adalah pengajaran yang baik untuk kami.”