Malaysia masih berpeluang cipta sejarah layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut

175

Tamat sudah kempen pasukan kebangsaan Malaysia dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas mereka hanya mampu menamatkan saingan peringkat Kumpulan D di kedudukan ketiga hasil tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Biarpun berjaya mengutip 10 mata, namun perbezaan satu mata dengan Republik Kyrgyz menyebabkan skuad Harimau Malaya terpaksa berputih mata sekaligus tidak berjaya mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan juga layak secara automatik ke Piala Asia 2027.


Walaupun perit untuk ditelan, namun perjalanan skuad kendalian Kim Pan-gon ke kejohanan paling berprestij di Asia masih lagi belum terkubur kerana mereka akan bermain dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Mac 2025.

Untuk pusingan ketiga, sebanyak 24 pasukan (3 pasukan terbaik dari pusingan pertama + 18 pasukan ketiga dan keempat dari pusingan kedua + 3 pemenang dari pusingan ‘play-off’) akan diundi dalam enam kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai empat pasukan.

Kesemua pasukan akan bermain ’round-robin’ iaitu tempat sendiri dan tempat lawan dengan setiap pemenang dari setiap kumpulan akan menempatkan diri dalam baki enam slot ke Piala Asia.

Pan-gon sendiri dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam berkata cabaran mereka selepas ini adalah untuk mempersiapkan skuad yang mantap kerana bakal mengharungi kejohanan Piala AFF dan Kelayakan Piala Asia.

Beliau juga berharap mereka akan mendapat lebih sokongan bagi memastikan persiapan pasukan dapat dibuat dengan cukup rapi kerana beliau yakin dengan sokongan padu peluang untuk mereka layak ke Piala Asia lebih cerah.

Oleh itu Malaysia berpeluang untuk mencipta sejarah baru iaitu layak ke Piala Asia secara merit buat kali kedua berturut-turut.

Bagi memastikan peluang negara lebih cerah untuk ke Piala Asia, mereka perlu mengutip mata ranking sebanyak yang mungkin untuk meletakkan Malaysia dalam Pot 1 sebelum undian diadakan nanti.

Ini kerana buat masa ini difahamkan Pot 1 dihuni oleh pasukan Syria, Thailand, Tajikistan, Vietnam, Lebanon dan India, manakala Malaysia pula berada dalam Pot 2.

Tiada yang mustahil dalam bola sepak! Mereka pernah buktikan sebelum ini apabila berjaya layak ke Piala Asia 2023, oleh itu peluang negara masih terbuka luas.

Jadi diharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dan membantu dalam usaha untuk merealisasikan impian untuk ke Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi nanti.

Malaysia boleh!