Saya harap dapat kembali dalam arena bola sepak dengan secepat mungkin – Faisal Halim
Pemain sensasi Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim berharap agar beliau dapat kembali dalam arena bola sepak secepat mungkin.
Faisal berkata demikian dalam sidang media khas di mana beliau membuat penampilan pertamanya selepas insiden disimbah asid baru-baru ini.
“Pertama sekali saya bersyukur kerana proses pemulihan saya semakin hari semakin baik dan saya juga sering berhubung dengan Dato’ Sri (Dato’ Sri Shahril Mokhtar) dengan berkata hari ini saya sudah mula buat latihan ringan iaitu mengayuh basikal di rumah.
Dato’ pun macam tak percaya, semangat yang saya ada ‘biar betul awak ni Mickey, awak dah nak berlatih’. Saya ingin ke arah untuk turun berlatih tapi dengan keadaan saya ketika ini saya ditempatkan di satu lokasi rahsia.
Jadi sampai bila saya nak menyorok daripada orang ramai. Saya beritahu pada Dato’, ‘Dato’ saya bersedia untuk tunjukkan diri saya kepada semua mengenai keadaan saya sekarang supaya saya bebas dan tak perlu berselindung lagi dan saya ingin jalani kehidupan seperti biasa.
Saya berharap saya dapat kembali dalam arena bola sepak dengan secepat yang mungkin,”
katanya.
Tambahnya lagi, beliau berharap dengan doa daripada orang ramai beliau dapat segera kembali turun beraksi di atas padang.
Dalam pada itu, Faisal juga meminta agar pihak media dan orang tidak membuat sebarang spekulasi melampau mengenai insiden yang berlaku kerana siasatan masih berjalan serta berharap agar si pelaku dapat ditangkap segera.
“Saya berharap agar si pelaku akan dapat ditangkap secepat mungkin dan didakwa di mahkamah.”
Sementara itu, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada rakan sepasukannya di Selangor FC dan Harimau Malaya untuk terus berjuang.
“Selamat berjuang buat rakan-rakan sepasukan di Selangor FC dan pasukan kebangsaan, insyaAllah saya akan ‘comeback’ satu hari nanti untuk menyertai kalian semua.”