Sergio Aguero mahu teruskan momentum untuk bantu Sri Pahang FC menang ke atas Penang FC

65

Pemain Sri Pahang FC, Sergio Aguero memberitahu beliau berada dalam tahap terbaik ketika ini dan mahu bawa momentum cemerlangnya ketika bersama pasukan kebangsaan Harimau Malaya baru-baru ini untuk bantu Sri Pahang FC memperoleh kemenangan menentang Penang FC.

“Sudah tentu saya berada dalam ‘mood’ yang cukup baik kerana saya rasa saya sudah beri aksi terbaik ketika bersama pasukan kebangsaan dan sekarang ini saya perlu buat yang terbaik untuk pasukan (Sri Pahang) saya pula.

Saya bersyukur kerana dapat beri impak kepada pasukan kerana kadang-kala saya boleh bermain baik dan kadang-kala saya bermain dengan agak teruk tapi saya bersyukur kali ini ia positif,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu Aguero dipanggil oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk menyertai pasukan Harimau Malaya bagi perlawanan menentang Chinese Taipei pada aksi terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.


Dalam pada itu, Aguero berkata masih terlalu awal untuk menilai kemampuan pasukan Sri Pahang kerana mereka baru sahaja mengharungi dua perlawanan.

“Terlalu awal nak memperkatakan mengenai prestasi pasukan kerana kita baru sahaja bermain dua perlawanan tapi kami adalah pasukan yang baik dan mempunyai barisan kejurulatihan yang hebat, jadi saya harap musim ini kami dapat buat dengan baik.”

Sementara itu, beliau berkata sasarannya pada musim ini adalah untuk bantu Tok Gajah menang sekurang-kurangnya satu piala.

“Musim lalu kita bermain dengan baik tapi musim ini saya harap kita akan dapat lebih cemerlang dan sudah semestinya saya harap dapat kami akan dapat sekurang-kurangnya satu piala musim ini.”