Saya beritahu pemain apabila mereka wakili negara, pastinya mereka akan dikritik – Christopher Raj

82

Pengurus pasukan kebangsaan Malaysia B-16, Christopher Raj memberitahu pemain-pemainnya supaya mengabaikan apa yang diperkatakan oleh netizen dan memberi fokus kepada permainan mereka di atas padang.

Menurut Christopher, mana-mana pemain yang mewakili negara pastinya akan sentiasa menjadi mangsa kritikan.


“Saya selalu katakan kepada pemain, jangan peduli dengan netizen atau apa-apa yang mereka tulis sebab bila anda mewakili negara, anda pastinya akan dikritik jadi anda tidak boleh lari.

Mereka pun tahu pemain-pemain kebangsaan yang mewakili negara main baik pun dikecam juga. Jadi kami sebagai pasukan dan keluarga kami akan buat yang terbaik dan dapatkan keputusan positif,”

katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bagi memperkenalkan pemain skuad Harimau Malaya B-16 yang akan menyertai Kejuaraan B-16 ASEAN 2024 di Surakarta, Indonesia pada 21 Jun hingga 3 Julai 2024.

Dalam pada itu, beliau turut gembira dengan persiapan pasukan yang berjalan dengan cukup lancar selain komitmen tinggi yang dipamerkan oleh pemain-pemain dan barisan kejurulatihan.

Tambahnya lagi, pihaknya telah membuat penilaian terhadap lebih 160 pemain dari seluruh negara sebelum 40 pemain disenarai pendek dipanggil ke kem latihan pusat yang mana mereka kemudiannya memilih 23 pemain terbaik untuk ke kejohanan kali ini.

“Kesemua pemain tahu tugas mereka adalah untuk buat yang terbaik untuk negara dan kami gembira melihat komitmen yang ditunjukkan oleh pemain dan barisan kejurulatihan sepanjang tempoh persiapan.

Objektif utama kita, ya kita mahu cuba pemain di AFF nanti tapi kami sudah maklum kepada pemain ‘jika anda tidak ‘perform’ di AFF ‘your job is on the line’ untuk kejohanan AFC nanti.”

Sementara itu, skuad negara telah diundi dalam Kumpulan C bersama Timor-Leste, Australia dan Thailand.