Aksi yang ditunggu-tunggu! 3 aksi derbi di antara Kedah Darul Aman FC dan Penang FC

53

Bahang derbi utara semakin dirasai oleh peminat bola sepak di negeri Kedah dan Pulau Pinang apabila kedua-dua pasukan kesayangan mereka iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Penang FC bakal bertemu sebanyak tiga perlawanan berturut-turut.

Derbi pertama di antara KDA dan Penang akan membuka tirai pada 22 Jun ini dalam aksi Liga Super yang akan berlangsung di Stadium Bandaraya.


Pasukan Sang Kenari kemudian akan sekali lagi turun beraksi di Stadium Bandaraya pada 28 Jun ini untuk perlawanan suku akhir pertama Piala FA dan kemudian akan melayan kunjungan Harimau Kumbang di Stadium Darul Aman pada 5 Julai untuk aksi suku akhir kedua.

Untuk aksi Liga Super sudah pasti pengendali KDA iaitu Nafuzi Zain mahu mengutip tiga mata penuh pada perlawanan keempat ini untuk melonjakkan kedudukan mereka di carta liga.

Walaupun berjaya memperolehi satu kemenangan dan dua kekalahan sebelum ini, namun pasukan Hijau Kuning kini menghuni di tangga ketiga tercorot liga dengan kosong mata selepas tiga mata pada aksi pertama ditolak bagi ‘membayar hutang’ yang dikenakan oleh Malaysian Football League (MFL).

Kemenangan besar 5-0 ke atas pasukan Bukit Tambun FC dalam aksi pusingan 16 Piala FA baru-baru ini nyata telah memberi tonik tambahan buat kesemua pemain untuk mereka teruskan momentum cemerlang apabila menentang musuh tradisi mereka itu nanti.

Dalam pada itu, Penang yang kini sedang dalam prestasi terbaik mereka pastinya mahu menamatkan ‘badi’ mereka apabila menentang pasukan jiran dan dibawah bimbingan bekas penyerang prolifik kebangsaan yang juga bekas pemain KDA iaitu Akmal Rizal pastinya mereka yakin mampu memperoleh keputusan positif.

Berdasarkan rekod saingan Liga Super pada musim lalu, Penang  tewas dalam kedua-dua perlawanan ‘home & away’ dengan keputusan 1-0 dan 2-1.

Dengan aksi yang cemerlang yang dipamerkan oleh anak buah Akmal Rizal ketika mereka menewaskan Sri Pahang FC pada perlawanan pusingan 16 Piala FA baru-baru ini, Penang kini lebih bersedia untuk memburu kemenangan.

Jadi pasukan manakah yang akan memperoleh kemenangan nanti? Adakah KDA akan terus kekal sebagai gergasi derbi utara? Atau Penang akan menjadi gergasi derbi utara yang baharu? Sama-sama kita tonton nanti.