Zahid Hamidi mahu bangunkan bakat e-sukan sebagai TVET Kebangsaan
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi memberitahu beliau bertekad untuk membangunkan bakat-bakat e-sukan di negara sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan.
“Saya melihat potensi besar industri e-sukan di Malaysia. Ini boleh dibangunkan dengan mewujudkan program TVET khas untuk menggilap bakat belia tempatan dalam e-sukan, termasuk kemahiran seperti kewartawanan dan ulasan e-sukan, produksi siaran, pengurusan dan kejurulatihan pasukan, serta penganjuran acara,”
katanya.
Zahid berkata demikian ketika sidang media Kementerian Belia dan Sukan serta Esports Integrated untuk menghantar wakil Malaysia iaitu Selangor Red Giants (SRG) dan Homebois yang akan menyertai kejohanan Mobile Legends: Bang Bang Mid Season Cup (MSC) 2024 yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi yang akan berlangsung dari 28 Jun hingga 14 Julai depan.
Dalam pada itu, Zahid juga berkata sokongan pihak kerajaan terhadap e-sukan seperti MLBB akan membawa banyak manfaat terutamanya dalam menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa.
“Kehadiran YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan sebagai wakil kerajaan ke kejohanan Mobile Legends: Bang Bang M5 World Championship 2023 di Manila, Filipina dan mengumumkan Malaysia sebagai tuan rumah seterusnya pada tahun lalu adalah merupakan antara sokongan pihak Kerajaan kepada sukan elektronik dan mengiktiraf usaha yang dimainkan oleh pihak industri.
Sebagai tuan rumah Kejohanan Dunia M6 yang akan dihadiri oleh atlet dari seluruh dunia pada bulan November, Malaysia akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk melaksanakan acara berprestij ini dengan cemerlang, bagi menjadikan ekosistem esports lebih mampan, serta mencipta impak positif kepada masyarakat, termasuk menjadikan Malaysia salah satu destinasi pelancongan esports terkemuka di rantau ini, selaras dengan objektif dalam Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik Kementerian Belia dan Sukan.”
Terdahulu, Zahid telah menghadiri perlawanan akhir MPL MY musim ke-13 yang mana ketika itu beliau memaklumkan hasratnya untuk memberi pengiktirafan yang lebih kepada industri e-sukan di peringkat kabinet.