Real Chukai FC belum sedia ke Liga Perdana walaupun jadi juara Liga M3

977

Selepas pernah membuat penampilan dalam saingan Piala FA, kelab bola sepak amatur dari Kemaman, Real Chukai FC kini menjadi perhatian ramai apabila mereka menjadi salah sebuah pasukan pilihan dalam saingan Liga M3 musim ini.

Biarpun pasukan yang diberi jolokan The Anchors dijangka mampu layak ke saingan Liga Perdana musim hadapan, namun Ketua Pegawai Operasi (COO)-nya Fadhil Mat Nor tidak mahu pasukannya naik liga walaupun layak.


“Kami tidak mahu terburu-buru kerana masih merasakan kami belum bersedia. Untuk musim ini sasaran kami adalah untuk kekal dalam saingan Liga M3 terlebih dahulu.

Ya memang kami ada perancangan untuk ke peringkat tertinggi tetapi kita tahu ia memerlukan kos yang amat tinggi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Fadhil lagi, selain mahu terus kekal di Liga M3, mereka juga akan memberi fokus untuk membina engagement dengan peminat daripada komuniti di Kemaman.

Bagi peminat yang baru mengikuti perkembangan Liga M3, kelab Real Chukai merupakan satu-satunya kelab di Liga M3 yang menguruskan fasiliti stadium sendiri iaitu Makchili Stadium.

Dalam pada itu, Fadhil yang diminta mengulas mengenai beberapa kelab lain di Liga M3 yang menggunakan bekas pemain kebangsaan, Liga Super dan Liga Perdana akan memberi kelebihan kepada pasukan tersebut, beliau berpendapat sebaliknya.

“Saya rasa tiada masalah jika ada pasukan yang membariskan bekas pemain profesional beraksi di Liga M3 kerana pengalaman mereka di peringkat tertinggi dapat dijadikan contoh oleh pemain-pemain kami, malah ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti liga.”

Real Chukai merupakan sebuah kelab bola sepak yang boleh dijadikan sebagai contoh bukan sahaja kepada kelab di Liga M3 sahaja tetapi juga kelab di Liga Perdana dan Liga Super.

Ini kerana walaupun kelab mereka kecil, tetapi Real Chukai mampu menguruskan pasukan tanpa bantuan dana daripada kerajaan negeri, sebaliknya mereka menjana pendapatan menerusi perniagaan seperti sewa padang, jualan barangan eksklusif kelab dan penaja.

Mereka juga akan melebarkan sayap perniagaan F&B iaitu kafe yang sedang dibina untuk menjana pendapatan kelab.

Real Chukai mempunyai pelan jangka panjang untuk membina fasiliti bola sepak yang lengkap termasuk merancang untuk membuat kerjasama dengan kelab bola sepak di luar negara tidak lama lagi.