Jika Selangor FC rasa tidak adil, mereka boleh kemukakan rayuan kepada MFL – Stuart Ramalingam

68

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memberitahu pihak pasukan Selangor FC boleh mengemukakan rayuan dalam masa terdekat itu sekiranya mereka tidak berpuas hati atau merasakan hukuman yang dikenakan kepada mereka tidak adil.

“Itu adalah pertimbangan daripada Ahli Lembaga Pengarah mengenai butiran-butiran di dalam kes kerana semua tahu perkara ini masih dalam proses perundangan dan juga pasukan Selangor mempunyai akses kepada rayuan.

Jadi kami harap pasukan Selangor yang mungkin tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikeluarkan oleh badan pengelola liga mereka boleh kemukakan surat rayuan untuk perkara ini boleh dibawa ke proses lagi satu iaitu peringkat rayuan,”

katanya.

Menurut Stuart, pihak Selangor mempunyai tempoh tiga hingga empat hari untuk mengemukakan rayuan mereka kepada MFL.


Semalam peminat bola sepak tempatan kecoh di media sosial selepas MFL telah membuat keputusan mengenai hukuman terhadap Selangor selepas ketidakhadiran mereka pada perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super pada 10 Mei lalu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.

Empat hukuman dikenakan terhadap The Red Gaints iaitu denda sebanyak RM100,000; bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah (JDT) dan MFL; pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024/25 dan perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penyokong.

Dalam pada itu, Stuart turut memberitahu sekiranya pasukan Selangor mengemukakan rayuan proses itu akan memakan masa selama empat minggu.

“Prosesnya Selangor kini mempunyai tempoh tiga hingga empat hari untuk mengemukakan surat rayuan dan selepas itu badan rayuan akan meneliti dokumen-dokumen dan akan bersidang yang dijangka akan selepas dalam tempoh empat minggu.”