FAM patut perketatkan syarat pemain naturalisasi – COO Real Chukai FC

320

Ketua Pegawai Operasi (COO) kelab Real Chukai FC, Fadhil Mat Nor meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperketatkan syarat pemain-pemain import yang ingin dinaturalisasi.

Fadhil berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini mengenai dua lagi pemain import diberikan IC Biru.


“Saya rasa untuk pelan jangka panjang ia sangat tidak bagus untuk pembangunan bola sepak negara. Jika hendak ambil pemain naturalisasi saya rasa antara kriteria paling penting adalah pemain itu mempunyai boleh bermain lagi 10 tahun.

Jadi saya rasa jika hendak ambil pemain naturalisasi juga pastikan pemain itu berusia 25 tahun ke bawah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, beliau juga keliru dengan keputusan FAM bekukan program naturalisasi negara tetapi membenarkan kelab meneruskan program itu.

“Ini keputusan yang cuba mengelirukan orang ramai kerana jika FAM bekukan pun tapi benarkan kelab buat, mereka (pemain import) akan dapat IC Biru juga. Maka pemain itu boleh dipanggil bermain untuk negara juga.”

Tambahnya lagi, dengan kehadiran ramai pemain naturalisasi ini mempunyai positif dan negatifnya iaitu dari segi positif pemain muda tempatan perlu buktikan mereka mampu bersaing di tahap tertinggi dan dari sudut negatif pula ia akan menutup ruang dan peluang pemain muda tempatan kerana sudah pasti kelab lebih cenderung menurunkan pemain import/naturalisasi dalam kesebelasan utama.

Dalam pada itu, Fadhil juga berharap FAM dapat menaikkan jumlah wang hadiah kemenangan lebih tinggi.

Real Chukai yang bermain di saingan Liga M3 menyaksikan juara saingan liga divisyen tiga itu hanya akan mendapat RM100,000 manakala naib juara pula RM50,000 sahaja.

“Macam kelab Real Chukai FC kami telah membuat kira-kira kos pengurusan yang berjumlah sekitar RM400,000.

Jadi saya secara peribadi merasakan wang hadiah kemenangan yang ideal untuk Liga M3 dalam RM500,000. Sekurang-kurangnya ia dapat bantu cover sedikit kos pengurusan kelab.”

Pada masa sama Fadhil turut berharap agar jumlah wang hadiah kemenangan di Liga Super dan Liga Perdana turut dinaikkan kerana semua sedia maklum kos menguruskan kelab dia kedua-dua liga tersebut sangat tinggi.

Ini bukanlah kali pertama isu wang hadiah kemenangan yang diterima pasukan Liga Malaysia menjadi bahan pertikaian kerana sebelum ini ramai yang menimbulkan isu yang sama membabitkan wang hadiah kemenangan Liga Super dan Liga Perdana.

Ketika ini juara Liga Super akan mendapat RM1 juta, juara Liga Perdana pula hanya menerima RM300,000 manakala juara Liga M3 pula RM100,000 sahaja.