Menentang Indonesia di Jakarta akan jadi perlawanan yang cukup sukar buat kami nanti – Masakuni Yamamoto
Pengarah Pasukan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Masakuni Yamamoto mengakui perlawanan menentang Indonesia pada 14 November 2024 untuk aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta akan menjadi perlawanan yang cukup sukar buat mereka.
Ini kerana menurut Masakuni Yamamoto, penyokong Sang Garuda merupakan antara penyokong yang cukup fanatik di rantau Asia.
“Jadi perlawanan menentang Indonesia nanti di Jakarta kami jangkakan ia akan menjadi aksi yang cukup sukar kerana penyokong Garuda sangat fanatik.
Kami juga sedar dengan perkembangan bola sepak Indonesia yang semakin bagus sejak kebelakangan ini yang mampu beri ancaman kepada kami.
Oleh itu, kami jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang cukup mencabar,”
katanya.
Semalam telah berlangsungnya undian untuk pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur.
Dalam undian tersebut telah menyaksikan Jepun telah diundi dalam Kumpulan C bersama Australia, Arab Saudi, Bahrain, China dan Indonesia.
Format perlawanan adalah ‘home’ dan ‘away’ dengan dua pasukan teratas akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan mara ke pusingan keempat kelayakan Piala Dunia untuk merebut baki slot ke kejohanan berprestij dunia itu.