Kita akan buat 3 kem latihan pusat sebelum kelayakan Piala Asia B-17 – Christopher Raj
Pengurus pasukan kebangsaan B-16, Christopher Raj memberitahu bahawa mereka sudah membuat perancangan untuk mengadakan tiga kem latihan pusat bagi mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia B-17 yang akan berlangsung pada Oktober depan.
Menurut Christopher, pihaknya juga akan menghantar surat jemputan kepada empat pasukan untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa.
“Sekarang kita sedang buat perancangan untuk membuat tiga kem latihan pusat iaitu pada bulan Ogos, September dan Oktober.
Kita juga akan menghantar surat jemputan kepada Oman, Guam, Singapura dan Tajikistan kerana keempat-empat pasukan ini akan bermain di Singapura untuk Kumpulan J.
Jadi kita nak minta mereka datang ke Johor Bahru untuk bermain dengan kita sebelum kita berlepas ke Laos pada 16 Oktober,”
katanya.
Untuk kelayakan Piala Asia B-17, skuad Harimau Muda telah diundi dalam Kumpulan H bersama Lubnan Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan tuan rumah Laos.
Dalam pada itu, Christopher turut mengulas mengenai prestasi pasukan selepas mereka tersingkir awal daripada kejohanan Kejuaraan ASEAN B-16 yang berlangsung di Indonesia.
Tambahnya lagi, biarpun kandas di peringkat kumpulan namun berdasarkan tiga perlawanan yang dihadapi mereka, pemain-pemain kini sudah dapat banyak pengajaran terutamanya dari aspek keserasian dan komunikasi.
“Sejujurnya saya tidak bimbang. Mungkin skrip yang sama akan berulang sekali lagi untuk kita yang mana kita terpaksa berhempas pulas di kelayakan untuk layak dan saya yakin pemain-pemain akan bangkit dan buat yang terbaik.”