Jurulatih tidak letak tekanan untuk menang tapi akan buat terbaik di Olimpik nanti – Syaqiera Mashayikh
Atlet memanah negara Syaqiera Mashayikh memberitahu tiada tekanan buat dirinya dan dua lagi atlet untuk mendapatkan pingat di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.
Menurut Syaqiera, biarpun tiada sasaran yang diletakkan oleh jurulatih namun bertekad untuk berikan aksi terbaiknya di sana nanti.
“Jurulatih pun tidak tetapkan sebarang sasaran. Bagi saya ini adalah pasukan yang pertama jadi saya anggap temasya ini sebagai platform pendedahan walaupun ini adalah peringkat tertinggi.
Kita akan buat yang terbaik, tak kisah ini kali pertama atau pun kali kedua. Kalau kita tahu apa kita nak buat pasti boleh,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Untuk Olimpik kali ini, sebanyak tiga atlet memanah sahaja yang berjaya layak ke temasya itu dengan ini merupakan Olimpik kedua buat Syaqiera.
Dalam pada itu, Syaqiera berkata walaupun ini adalah Olimpik keduanya tapi ia merupakan kali pertama beliau akan beraksi dalam kategori berpasukan.
“Ini Olimpik kedua tapi ini adalah kali pertama saya pergi secara pasukan jadi bagi saya sama-sama ada kelebihan dan sama-sama ada kekurangan.
Di sana nanti kita buat apa yang kita mampu dan terbaik sebab masing-masing akan beri sokongan antara satu sama lain.”
Dua lagi atlet memanah yang akan menyertai Syaqiera adalah Ariana Nur Dania dan Nurul Azreena.
Sementara itu, beliau dan rakan sepasukannya kini sedang membuat persiapan rapi sebelum terbang ke Perancis untuk menyertai temasya itu yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.