Perlu atau tidak pasukan bola sepak wanita guna pemain import untuk saingan LWN?

35

Saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2024 akan membuka tirainya pada 6 Julai yang mana ia akan menyaksikan sebanyak lapan pasukan akan berentap untuk merebut kejuaraan.

Sebanyak lima pasukan musim lalu kekal bersaing pada musim ini iaitu Selangor, Kelana United FC, Malaysian University, SSMP dan juara bertahan Sabah, manakala tiga pasukan baharu pula adalah Melaka, Red Eagles SC (Kedah) dan Real CJ FC (Pulau Pinang).


Baru-baru ini ketika pelancaran LWN 2024, Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Dato’ Suraya Yaacob memberitahu bahawa saingan musim ini akan menyaksikan pembaharuan dilakukan bagi memastikan setiap pasukan dapat pamer aksi terbaik.

Antara pembaharuan tersebut adalah jumlah wang hadiah kemenangan yang ditingkatkan selain turut mengadakan karnival akar umbi lelaki dan perempuan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Namun apa yang mencuri perhatian adalah kenyataan Suraya adalah hasrat pihaknya untuk memperkenalkan kuota pemain import untuk saingan LWN dengan objektif untuk meningkatkan lagi kualiti liga.

Hasrat itu disuarakan selepas juara LWN musim lalu iaitu Sabah pada musim ini akan bermain di pentas Asia iaitu pusingan pertama AFC Women’s Champions League (AWCL) 2024 buat julung-julung kalinya.

Bagaimanapun FAM tidak akan tergesa-gesa untuk memperkenalkan kuota pemain import lagi buat masa ini kerana fokus mereka ketika ini adalah untuk memastikan kesemua pasukan melengkapkan pelesenan kelab terlebih dahulu.

Difahamkan inisiatif pelesenan kelab sudah pun dimulakan sejak dua tahun lalu dan mereka berharap kesemua kelab bertanding dapat melengkapkan pelesenan kelab menjelang tahun hadapan.

Sekiranya semua berjalan dengan lancar mereka mungkin akan mula memperkenalkan kuota pemain import untuk saingan LWN musim hadapan dengan kuota dua atau empat pemain import.

Tidak dapat dinafikan pengenalan pemain import dalam saingan LWN dapat meningkatkan kualiti liga bola sepak wanita terutamanya apabila mereka layak bermain di pentas Asia, tetapi persoalan utama yang menjadi tanda tanya adalah adakah kelab-kelab yang bertanding mempunyai kemampuan untuk menggaji pemain import?

Suka atau tidak sekiranya kuota pemain import diperkenalkan pastinya kesemua pasukan akan mengambil kesempatan untuk ambil pemain import bagi memperkuatkan pasukan biarpun sedar mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan.

Contoh terbaik sudah pun dapat dilihat di Liga Super apabila kelab yang tidak berkemampuan turut membawa masuk ramai pemain import yang mana kemudian telah menyebabkan mereka berdepan masalah kewangan.

Berbalik kepada saingan LWN, semua sedia maklum bahawa bukan mudah untuk pemilik kelab bola sepak wanita untuk mencari dana kerana LWN ketika ini tidak mempunyai nilai komersial yang mampu menarik penaja-penaja besar.

Tambahan pula majoriti pemain-pemain di LWN tidak mempunyai kontrak profesional sebaliknya bayaran berbentuk elaun dan terpaksa buat kerja lain untuk menyara hidup.

Tiada masalah untuk perkenal kuota pemain import untuk saingan LWN tetapi pastikan pemain-pemain wanita tempatan dapat kontrak profesional supaya mereka dapat fokus sepenuhnya dengan bola sepak dan tidak perlu fikir untuk buat kerja lain untuk tampung kehidupan.

Jika perkara ini dapat dibuat ia secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan kualiti permainan mereka.

Apa pun kita harapkan pihak FAM dapat membuat penilaian dan pertimbangan dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk memperkenalkan kuota pemain import.

Sementara itu, kepada peminat bola sepak jangan ketinggalan untuk turun ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 6 Julai ini untuk menyaksikan perlawanan pertama LWN di antara Kelana United menentang Selangor.