Impian saya mahu sediakan pemain untuk pasukan kebangsaan – Fairuz Montana

56

Ketua jurulatih pasukan Kelana United FC, Fairuz Montana memberitahu selain mahu pasukannya menjadi yang terbaik dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN), beliau juga mempunyai misi untuk bantu pasukan kebangsaan Malayan Tigress.

“Tugas saya pada tahun ini adalah menyediakan pasukan saya untuk menjadi sebuah pasukan yang baik dan tujuan saya juga iaitu impian saya menyediakan pemain ke pasukan kebangsaan.

Itu adalah impian utama saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Fairuz ketika ini sedang mempersiapkan pasukannya bagi mengharungi saingan LWN 2024 yang akan membuka tirainya pada hujung minggu ini.


Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai saingan LWN musim ini Fairuz memberitahu bahawa beliau tidak mahu terlalu bergantung harap kepada tiga pemain kebangsaan sahaja untuk saingan musim ini.

“Kelana United ada Intan, Steffi dengan Farahiya jadi takkan saya nak harapkan tiga pemain ini sahaja, jadi saya mahu pasukan ini seimbang kerana akan ada satu hari saya tidak akan mainkan mereka.

Oleh sebab itu saya mahu pasukan ini seimbang supaya pemain-pemain generasi muda ini dapat ganti tempat mereka, jadi saya tidak boleh 100% berharap kepada ketiga-tiga pemain itu sahaja.”

Beliau pada masa sama turut menjangkakan saingan LWN pada musim ini akan menjadi lebih sengit dengan setiap pasukan dilihat membuat persiapan yang cukup rapi.

Sementara itu, Fairuz yang diminta mengulas mengenai keputusan pihak penganjur iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengenakan bayaran tiket untuk aksi LWN musim ini tidak dapat memberikan sebarang komen lagi buat masa ini.

Ini kerana menurut Fairuz, mereka perlu melihat terlebih dahulu sambutan pada perlawanan pertama nanti.

“Saya rasa perkara ini patut ditanya kepada FAM sebab saya nak cakap lebih pun tak boleh sebab kita perlu lihat pada perlawanan pertama terlebih dahulu ada sambutan atau tidak sebelum kita buat ‘post-mortem’ pihak penganjur.

Kalau sambutan Alhamdulillah mengapa tidak, jika kurang sambutan sebab penjualan tiket kita terpaksa buat sesuatu.”

Kelana United akan membuka tirai saingan LWN pada 6 Julai ini menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada jam 4.00 petang.