Ayuh realisasikan misi 25,000 penyokong di Stadium Darul Aman untuk aksi derbi utara!

26

Masanya hampir tiba untuk perlawanan bola sepak yang dinanti-nantikan oleh penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Penang FC apabila mereka sekali lagi akan turun beraksi dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2024 pada Jumaat ini.

Apa yang membuatkan perlawanan ini cukup menarik dan dinanti-nantikan oleh ramai adalah kerana ia merupakan aksi derbi utara kali ketiga berturut-turut.


Ini kerana kedua-dua pasukan ini sudah bertemu dua kali iaitu pada 22 Jun lalu dalam perlawanan Liga Super dan pada 28 Jun untuk saingan Piala FA di mana kedua-dua perlawanan itu berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dengan pasukan tuan rumah tewas dalam kedua-dua perlawanan dengan jaringan 1-0.

Berada dalam prestasi terbaik ketika ini pastinya pasukan KDA mahu memanfaatkan bermain di halaman sendiri untuk menang sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah kepada Penang dan pada masa sama mahu layak ke peringkat separuh akhir.

Bagi menghangatkan lagi suasana menjelang aksi derbi utara itu, pemegang saham terbesar Sang Kenari iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar menyeru seluruh peminat bola sepak di negeri itu untuk turun ke stadium bagi memberi sokongan padu buat pasukan kesayangan.

“Misi ini adalah satu impian. Sudah lama Stadium Darul Aman tidak merasai suasana riuh dan meriah ini. Inilah masanya.

Kehadiran seramai 15,000 adalah indah dan mempersonakan. Amazing. Kehadiran seramai 20k adalah luar biasa dan kejutan minda. Extra ordinary.

Kehadiran seramai 25k adalah DIRI ANDA sebenarnya.  Really you. Kami menunggu kehadiran anda dengan penuh harapan dan sanjungan,”

katanya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan pasukan Hijau Kuning turut mengalu-alukan kedatangan penyokong pelawat dengan memberi jaminan keselamatan sepanjang perlawanan nanti.

Biarpun tewas pada aksi di tempat sendiri, skuad Harimau Kumbang sudah pasti mahu berikan segala-galanya pada perlawanan esok kerana peluang untuk merebut satu slot ke separuh akhir masih terbuka luas dek kekalahan tipis 1-0.

Sementara itu, pasukan tuan rumah pastinya tidak mahu mengecewakan penyokong di tempat sendiri dengan Nafuzi Zain pastinya mempunyai perancangan rapi untuk memperbaiki rekod musim lalu selepas mereka tersingkir awal pada saingan musim lalu.

Jadi ayuh penyokong Sang Kenari dan Harimau Kumbang, kita penuhkan stadium untuk beri sokongan padu buat kedua-dua pasukan.