Kalau 8 Julai tiada berita, maka tiada slot tambahan untuk atlet kita – Bryan Nickson Lomas
Pengarah Teknikal skuad terjun Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 iaitu Bryan Nickson Lomas berkata pihaknya akan menunggu sehingga 8 Julai ini untuk mendapat maklumat atau berita daripada Akuatik Dunia samada ada slot tambahan atau tidak.
“Kita belum dapat emel rasmi lagi daripada Akuatik Dunia sebab pihak mereka berkata jika kita tidak terima apa-apa lepas 8 Julai maksudnya tiada slot tambahan untuk Malaysia.
Memandangkan kita masih ada tempoh beberapa hari lagi jadi kita tunggu sahaja sampai 8 Julai. Peluang ada tapi sangat tipis,”
katanya.
Bryan berkata demikian mengenai peluang penerjun negara Ooi Tze Liang untuk ke Olimpik selepas dikhabarkan penerjun negara itu berkemungkinan dapat ke Paris jika ada slot tambahan.
Terdahulu, atlet terjun wanita negara iaitu Nur Dhabitah Sabri disenaraikan oleh Persekutuan Renang Malaysia (MAS) ke Olimpik untuk bersaing dalam acara 3m papan anjal individu wanita selepas satu slot tambahan diberikan oleh Akuatik Dunia.
Dalam pada itu, Bryan berkata biarpun nasib Tze Liang masih belum ditentukan namun beliau berkata atlet tersebut akan terus menjalani latihan seperti biasa.
“Selepas Doha, dua atlet terjun iaitu Tze Liang dan Dhabitah ini kita letak mereka dalam senarai bersedia jadi mereka akan menjalani latihan seperti biasa dan kita hantar pergi kejohanan luar negara pada awal Jun lalu sebagai persedian sekiranya dapat ke Olimpik.”