Nafuzi Zain sasar Terengganu FC bawa pulang satu piala

299

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain meletak sasaran untuk pasukannya membawa pulang satu piala pada musim ini.

Menurut Nafuzi, selain mahu menjulang satu piala beliau juga mahu skuad kendaliannya memperbaiki kedudukan keempat di Liga Super pada musim lalu.


“Saya berharap pada musim ini Terengganu dapat memperbaiki kedudukan dari musim lalu. Selain itu kami juga menyasarkan untuk membawa pulang satu piala,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: TFC Facebook

Nafuzi berkata demikian selepas Terengganu menumpaskan Sri Pahang FC 3-1 dalam Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan skuad Penyu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini, Nafuzi mengakui masih belum dapat membentuk sebuah pasukan yang ampuh.

“Ketika ini kita masih belum dapat bermain skuad penuh berikutan terdapat beberapa pemain yang cedera dan tidak cergas.

Ketika ini masih banyak kelemahan di setiap bahagian yang perlu diperbaiki sebelum saingan liga bermula.”

Musim ini Terengganu membawa masuk semula bekas penyerang sensasi Kipre Tchetche yang pernah bermain bersama pasukan itu sejak tahun 2017 sebelum berhijrah ke Kedah Darul Aman FC.

Sumber foto: TFC Facebook

Untuk musim ini, Kipre akan kembali bergandingan dengan Kpah Sherman yang turut menjadi rakan sepasukannya ketika beraksi bersama Kedah pada musim lalu.

Susulan kemasukan duo penyerang itu, Nafuzi memberitahu beliau akan mengubah sedikit corak permainan mereka pada berbanding musim lalu.

Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan beliau antara calon yang diintai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggalas jawatan sebagai penolong ketua jurulatih Kim Pan-gon, Nafuzi berkata ia satu penghargaan buat dirinya.

Beliau bagaimanapun merasakan ada jurulatih lain yang lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut kerana fokusnya kini adalah bersama Terengganu.

Terdahulu nama Nafuzi menjadi bualan ramai apabila nama beliau dikatakan berada dalam radar FAM yang kini sedang mencari penolong jurulatih tempatan bagi membantu ketua jurulatih baru skuad Harimau Malaya.

Rata-rata peminat turut nyata menyokong seratus-peratus sekiranya Nafuzi dilantik untuk menggalas jawatan tersebut kerana beliau merupakan salah seorang jurulatih muda terbaik di negara ketika ini.