Nak tak nak saya perlu cepat sesuaikan diri dengan papan anjal baru – Dhabitah Sabri
Atlet terjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri berkata sempat atau tidak beliau perlu juga segera menyesuaikan diri dengan papan anjal baru yang akan digunakan pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
“InsyaAllah sempat, nak tak nak kena sempatkan juga. Jadi kita perlu guna setiap peluang yang ada oleh itu saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar,”
katanya.
Terdahulu kem Malaysia gembira apabila Dhabitah dapat membuat penampilan ketiganya di Sukan Olimpik menerusi lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain.
Pada masa sama seorang lagi atlet terjun negara iaitu Ooi Tze Liang juga sedang menanti keputusan daripada Akuatik Dunia samada akan ada slot tambahan atau tidak ke temasya itu yang mana ia dijangka akan diputuskan pada 8 Julai ini.
Dalam pada itu, Dhabitah juga memberitahu fokus beliau ketika ini hanya pada latihan dan belum fikir mengenai kejohanan atau pun sasaran.
“Saya tak ada nak fikir terus jauh, saya mahu ambil ‘one step at the time’ sebab fikir terlalu banyak pun bagus jadi sekarang ini saya hanya fikir pasal latihan saja. Bila sampai sana nanti baru fikir pasal kejohanan pula.”
Tambahnya, beliau juga tidak mahu meletak sebarang tekanan dan harapan supaya beliau dapat lebih tenang ketika temasya itu nanti.
Ini merupakan Olimpik ketiga Dhabitah selepas Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.