Tidak hanya mahu timba ilmu di FC Osaka, Muhammad tekad mahu kekal lama di sana

27

Pemain muda sensasi Selangor FC, Muhammad Abu Khalil bersyukur dan teruja apabila beliau mendapat tawaran untuk bermain secara pinjaman Bersama kelab FC Osaka yang beraksi dalam saingan liga di Jepun iaitu di J3 League.

Menurut Muhammad, beliau ke sana bukan sahaja sekadar mahu menimba pengalaman bermain di Jepun tetapi juga berhasrat untuk terus kekal di sana selama yang mungkin.


“Ya sudah semestinya saya pergi sana nak belajar mengenai sistem permainan mereka dan saya akan belajar sebanyak mungkin di sana untuk tingkatkan lagi prestasi permainan saya dari semasa ke semasa.

Saya akan ke sana selama enam bulan dan apa yang saya boleh katakan, saya tidak akan balik awal dan akan cuba kekal di sana selama yang mungkin,”

katanya.

Terdahulu, Muhammad mendapat tawaran untuk bermain bersama FC Osaka selepas menjalani sesi percubaan di kelab itu selama seminggu kerana tertarik dengan kemahiran teknikal yang ada pada pemain itu.

Dalam pada itu, Muhammad juga memanjatkan kesyukuran apabila tahun ini merupakan tahun yang cukup positif buat dirinya.

“Alhamdulillah pada tahun ini memang rezeki daripada Allah yang mana saya dapat naik ke pasukan utama dan kemudian dapat tawaran (ke FC Osaka). Ini akan membuatkan saya bekerja dengan lebih keras lagi untuk tingkatkan prestasi saya, insyaAllah.”

Sementara itu, Muhammad memberitahu beliau akan terbang ke Jepun untuk menyertai FC Osaka selepas kejohanan Kejuaraan B-19 ASEAN 2024 (AFF) yang akan berlangsung di Surabaya, Indonesia pada 17 hingga 29 Julai ini.

Skuad Harimau Muda akan turun dengan misi yang cukup penting iaitu untuk mempertahankan kejuaraan AFF yang dimenangi mereka dua tahun lalu.