Kita perlukan lebih banyak kejohanan di peringkat akar umbi – Vik Oun

110

Jurulatih pasukan bola sepak Foon Yew FC, Vik Oun berharap lebih banyak kejohanan di peringkat akar umbi dapat dianjurkan supaya dapat memberi lebih ruang dan peluang kepada pemain-pemain muda mendapat pengalaman dan minit permainan.

Menurut Vik, pemain bola sepak di peringkat sekolah sebelum ini hanya mengharapkan kejohanan seperti Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) tetapi kini mempunyai peluang untuk bermain di kejohanan jemputan.


“Saya rasa kejohanan seperti ini perlu dianjurkan dengan lebih banyak kerana di peringkat sekolah biasanya hanya MSSD jadi jika di peringkat MSSD sudah kalah sesebuah pasukan itu akan habis dan tidak dapat bermain lagi.

Jadi bagi pandangan saya kejohanan jemputan seperti ini lebih banyak lebih baik sebab lebih banyak pemain mendapat minit permainan lebih banyak seseorang pemain itu akan mendapat pengalaman,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Vik berkata demikian selepas pasukan kendaliannya beraksi dalam kejohanan Maritime Silk Road-Youth Soccer Elite Tournament yang berlangsung di JSA Arena, Shah Alam baru-baru ini yang menyaksikan pasukannya terpaksa akur apabila tewas di peringkat suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti.

Dalam pada itu, Vik juga berkata kejohanan seperti ini juga dapat memberi ruang kepada pencari bakat untuk mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kejohanan ini boleh dijadikan platform kepada mana-mana ‘scouting’ datang melihat siapa berbakat dan mungkin ‘the next Messi’ dan ‘the next Ronaldo’ dapat dilahirkan menerusi kejohanan seperti ini.”

Sementara itu, Vik pada masa sama berkata berdasarkan perkembangan bola sepak di akar umbi ketika ini beliau yakin Malaysia berada di landasan tepat untuk melahirkan lebih ramai lagi pemain tempatan berkualiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa tanpa perlu mengharapkan pemain warisan dan naturalisasi semata-mata.