Hantar anak bermain bola supaya mereka kurang main gajet – Zulaina Zulkipli

125

Tidak dapat dinafikan dengan dunia moden kini telah menyaksikan kanak-kanak seawal usia setahun sudah didedahkan dengan peranti atau gajet sehingga menyebabkan mereka menjadi obses dan tidak lagi mahu bersukan.

Bagi Zulaina Zulkipli, beliau tidak mahu anaknya menghabiskan masa dengan bermain gajet membuatkan beliau buat keputusan untuk hantar anaknya untuk bermain bola sepak bersama kelab Putra Vipers.


“Ini merupakan salah satu pengisian masa lapang mereka. Macam saya sendiri saya hantar anak-anak saya supaya mereka kurang main gajet.

Saya dapat lihat sendiri apabila mereka kerap turun berlatih dan menyertai kejohanan mereka sudah kurang bermain gajet,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk makluman Putra Vipers juga bertindak sebagai Akademi Tunas Putrajaya yang berada di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Dalam pada itu, Zulaina turut memberitahu beliau dapat melihat perkembangan yang cukup positif daripada anaknya, malah anaknya yang bermain untuk skuad B-10 juga sudah menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah platform yang terbaik untuk anak-anak yang mana mereka dapat pelajari banyak ilmu bola sepak serta beri mereka pengalaman yang sangat berharga.

Anak saya yang bermain untuk skuad B-10 pernah menyertai kejohanan antarabangsa di Bangkok Supercup tahun lepas yang mana mereka berjaya memperolehi tempat ketiga daripada 24 pasukan yang bertanding.”