Saya memang kalau boleh nak kekal lama! Alasan itu saya tak boleh kongsi dengan anda – Kim Pan-gon

439

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon telah mengesahkan bahawa beliau meletak jawatan sebagai pengendali skuad Harimau Malaya berkuat kuasa serta merta kerana komitmen peribadi.

Pan-gon dalam sidang media mengenai peletakkan jawatannya itu memberitahu bahawa beliau tidak dapat berkongsi alasannya kepada semua.


“Berita mengenai saya mahu letak jawatan pada Mac lalu adalah palsu. Saya pernah maklum bahawa saya mahu terus kekal di sini selama yang mungkin.

Tapi selepas perlawanan menentang Taiwan dalam sidang media saya sekali lagi berkata yang saya mahu terus kekal di sini. Namun selepas itu saya mengadakan perbincangan dengan Presiden FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Datuk Hamidin Mohd Amin beberapa kali sehingga beliau terima keputusan saya.

Alasan tersebut adalah alasan yang saya tidak boleh kongsikan dengan anda. Saya rasa Datuk Presiden akan kongsikan alasan itu kepada barisan Exco FAM,”

katanya.

Dalam pada itu, Pan-gon berkata beliau tampil dalam sidang media ini adalah untuk meluahkan penghargaan beliau terhadap sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat bola sepak tanah air sepanjang beliau bersama skuad negara.

“Kepada seluruh peminat, antara sebab utama saya datang ke sini adalah kerana Ultras Malaya (UM) dan perkara ini saya turut maklumkan sebab ini kepada Presiden FAM. Saya mahu dapatkan sokongan besar daripada UM.

Dari perlawanan pertama sehingga perlawanan terakhir menentang Taiwan, setiap perlawanan UM turun memberikan sokongan dan ia sesuatu yang cukup menakjubkan. Peminat bola sepak Malaysia cukup menakjubkan.”

Tambahnya lagi, beliau juga terharu dengan Ekor Harimau Malaya yang sentiasa percaya dengannya selain sentiasa berada dibelakangnya.

Sementara itu, pengendali dari Korea Selatan itu juga berkata tempoh dua setengah tahun adalah perjalanan yang luar biasa dan indah dalam hidupnya.

Ini kerana beliau berjaya membawa skuad negara layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas lebih 40 tahun dan ranking FIFA negara naik ke tangga ke-130 dunia serta momen yang tidak dapat dilupakan apabila mereka berjaya mengikat gergasi dunia Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Doha, Qatar.