Real Chukai tak gentar jumpa mana-mana kelab
Saingan Liga M3 bakal membuka tirai pada Sabtu dengan kelab Real Chukai FC akan menentang Perlis United di Stadium Mak Chili, Kemaman.
Walaupun bakal berdepan pasukan pilihan yang mana Perlis dibarisi ramai pemain-pemain berpengalaman dari Liga Super dan Liga Perdana, namun Chukai tidak gentar.
“Apa yang ketua jurulatih dan saya cakap kepada pemain-pemain saya adalah mereka (Perlis) setaraf sahaja walaupun mereka mempunyai ramai bekas pemain Liga Super dan Liga Perdana.
Kami cakap jangan takut dan main seperti yang telah dirancang oleh jurulatih,”
ujar penolong ketua jurulatih Poknik Shuk Muhamad.
Pada masa sama Poknik turut memberitahu pemain-pemainnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memberi saingan sengit kepada pasukan yang bakal mereka temui.
Beliau juga memuji anak buahnya apabila sentiasa komited dan bersemangat apabila setiap kali turun beraksi.
“Saya lihat para pemain apabila mereka turun beraksi mereka cukup bersemangat. Sebelum ini kami ada perlawanan dengan Terengganu FC. Walaupun Terengganu bermain di Liga Super namun semangat pemain saya tidak luntur dan mereka bekerja keras untuk beri saingan sengit.”
Walaupun bermain di Liga M3, namun kelab Real Chukai mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air apabila ramai yang memuji pengurusan kelab yang dikatakan sangat profesional berbanding sesetengah kelab di Liga Perdana dan Liga Super.
Saingan Liga M3 musim ini menyaksikan sebanyak 20 pasukan yang mana ia akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.
Real Chukai diundi dalam kumpulan B yang mana ia turut dihuni oleh beberapa pasukan pilihan lain seperti Perlis United, BRM FC, Respect FC dan Harini KS.