Penganjuran AWCL akan tingkatkan kualiti bola sepak wanita di Asia – Kanya Keomany
Pengerusi Jawatankuasa Wanita AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), Kanya Keomany memberitahu penganjuran kejohanan AFC Women’s Champions League (AWCL) akan meningkatkan kualiti bola sepak wanita di Asia.
Menurut Keomany, AFC sudah merancang untuk menganjurkan kejohanan ini sudah lama dan akhirnya ia berjaya direalisasikan.
“Selepas lebih 10 tahun akhirnya AWCL menjadi kenyataan dan kami cukup teruja kerana kejohanan ini akan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan kelab bola sepak di Asia dan pada masa sama dapat meningkatkan kualiti bola sepak di rantau ini.
Ia juga akan memberi manfaat kepada pemain-pemain untuk tonjolkan kemampuan dan kehebatan mereka bermain di peringkat tertinggi,”
katanya.
Dalam pada itu, Keomany berkata biarpun ini adalah kejohanan yang pertama namun beliau percaya akan memberi manfaat yang cukup besar untuk bola sepak wanita.
“Dengan kejohanan ini ia akan mendapat liputan yang cukup meluas daripada pelbagai pihak termasuk media yang mana ia akan menyumbang kepada kelab-kelab yang bertanding untuk mendapat penajaan.”
Beliau pada masa sama juga berkata kejohanan ini akan turut menimbulkan keterujaan semua kelab untuk bermain di pentas tertinggi dan perkara ini akan membuatkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi menjadi lebih rancak.
Sementara itu, pusingan kelayakan AWCL akan bermula pada hujung bulan Ogos ini dengan juara akan layak ke peringkat kumpulan bagi mengisi slot kosong.
Aksi peringkat kumpulan akan bermula dari 6 hingga 12 Oktober 2024 dengan 12 kelab akan bersaing untuk merebut kejuaraan AWCL.