Biarpun sudah ada bekalan tapi TFC akan bermain seperti biasa untuk aksi kedua – Safawi Rasid

78

Pemain sensasi Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid menegaskan bahawa mereka akan bermain seperti biasa pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC pada 3 Ogos ini biarpun sudah mempunyai bekalan satu gol apabila turun ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) nanti.

“Bagi kami walaupun 3-2, 2-0 atau 3-0 sekalipun tapi pada perlawanan di tempat lawan nanti kita akan bermain seperti hari ini juga.

Mentaliti kami menjelang perlawanan kedua nanti adalah 0-0,”

katanya.

Pada perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad Sang Penyu telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang apabila mereka berjaya tewaskan skuad Gergasi Merah dengan keputusan 3-2.


Dalam perlawanan tersebut turut menyaksikan Safawi berjaya membuka akaun jaringan untuk TFC menerusi sepakan percuma yang cukup menakjubkan apabila ia terus menerjah jaring.

“Saya rasa gol tersebut mungkin yang terbaik kerana ia dari sudut yang cukup sukar jadi Alhamdulillah saya dapat jaringkan gol.”

Safawi turut mengakui mereka bermain kurang baik sepanjang tempoh 15 minit pertama namun selepas jaringan pertama mereka kembali dapat rentak sekaligus berjaya menamatkan aksi separuh masa pertama dengan mendahului dua jaringan.

Beliau pada masa sama turut teruja melihat puluhan ribu penyokong hadir untuk memberikan sokongan kepada pasukan sepanjang perlawanan.

Sementara itu, Safawi juga berkata beliau akan terus bermain seperti biasa dan percaya beliau akan kembali ke puncak prestasi dengan sendirinya nanti.