Edmund Yeo yakin Aniq Kasdan mampu buat angkatan 305kg

68

Jurulatih angkat berat kebangsaan, Edmund Yeo menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan jaguh angkat berat Aniq Kasdan untuk membuat angkatan 305 kilogram (kg) di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Edmund, beliau yakin selepas melihat sendiri prestasi Aniq yang konsisten dalam setiap angkatannya.


“Ya saya yakin dengan kemampuan Aniq berdasarkan prestasinya dalam latihan dan konsistensi angkatannya di Olimpik nanti,”

katanya.

Bercerita lanjut mengenai peluang untuk Aniq mendapatkan pingat di Olimpik, Edmund berkata ia akan bergantung pada hari pertandingan ini yang mana pihaknya akan membuat percaturan rapi.

Edmund berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana beliau dan Aniq ke Antalya, Turki untuk membuat persiapan akhir sebelum terbang ke Paris.

Dalam pada itu, Edmund berkata untuk persiapan akhir ini pihaknya akan memantau pemakanan dan rehat Aniq bagi memastikan beliau sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

“Ya kita akan pantau dari segi pemakanan untuk tingkatkan tenaga dan selain mahu Aniq kekalkan berat badan.

Kita ke Turki untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di Eropah.”

Sementara itu, Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.