Kalau mahu ke final Piala FA kami perlu jaringkan gol di MBPJ nanti – Tomislav Steinbruckner

54

Ketua jurulatih pasukan Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menegaskan bahawa pasukannya perlu jaringkan gol apabila bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menentang Selangor FC pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024.

Menurut Steinbruckner, bekalan satu gol yang diperoleh pada aksi pertama tempoh hari masih belum cukup untuk buat mereka berasa selesa menjelang aksi kedua nanti.


“Kami akan buat persiapan sama seperti perlawanan sama untuk perlawanan kedua nanti yang mana kami perlu jaringkan di sana nanti (MBPJ) sekiranya kita mahu ke final,”

katanya.

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) menyaksikan skuad Sang Penyu tampil cukup bertenaga apabila berjaya tewaskan Gergasi Merah dengan keputusan 3-2.

Dalam pada itu, Steinbruckner turut berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh penyerang Ismahil Akinade yang cukup klinikal di hadapan gawang dan berjaya menjaringkan gol.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya akan cuba membawa penyerang baru pada jendela perpindahan kedua nanti berikutan seorang lagi penyerang utama mereka iaitu Ivan Mamut masih lagi tidak dapat diturunkan dek kecederaan.

“Kami sudah melihat beliau (Akinade) sejak musim lalu lagi kerana pemain ini mempunyai kelajuaan dan kualiti dan dengan Ivan Mamut yang sudah enam bulan tidak dapat bermain jadi kami mungkin akan cari penyerang baru pada jendela perpindahan kedua nanti.”

Sementara itu, kedua-dua TFC dan SFC akan sekali lagi turun beraksi untuk merebut slot ke perlawanan akhir pada 3 Ogos ini.