Persiapan kali ini lebih baik dari Olimpik sebelum ini jadi saya yakin Jonathan mampu cemerlang – Firdaus

31

Jurulatih menembak kebangsaan, Firdaus Abdul Rahim menyuarakan keyakinan beliau terhadap kemampuan atletnya Jonathan Wong untuk beraksi cemerlang di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Menurut Firdaus, persiapan yang dilakukan kali ini lebih rapi dan baik berbanding persiapan pada Olimpik edisi sebelum ini.


“Saya amat berharap Jonathan akan lebih bersedia kerana persiapan kali ini lebih baik dari Olimpik 2016 jadi harapan saya beliau dapat buat apa yang sudah dirancang.

Persembahan beliau ketika ini padu jadi saya percaya beliau dapat melakukan aksi cemerlang di sana nanti,”

katanya.

Tambahnya lagi, berdasarkan prestasi semasa beliau percaya bahawa Jonathan akan mendapat ‘peak’-nya di Paris nanti.

Dalam pada itu, Firdaus berkata untuk temasya kali ini fokus mereka adalah untuk cuba lepas peringkat kelayakan terlebih dahulu sebelum buat percaturan untuk peringkat seterusnya.

“Misi awal untuk lepas peringkat kelayakan yang mana beliau perlu dapatkan catatan 583. Tidak dapat dinafikan Jonathan masih lagi ada kejanggalan tapi saya yakin beliau boleh buat.”

Tambahnya lagi, sekiranya Jonathan dapat membuat bidikan 582 atlet negara itu mampu untuk berada dalam kelompok lapan terbaik.

Sementara itu, Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.