KBS sedang perhalusi cadangan untuk bina stadium khas untuk sepak takraw

40

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memberitahu bahawa pihaknya kini sedang meneliti cadangan daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang mahu mempunyai stadium khas untuk sukan itu.

Menurut Hannah, buat masa ini pasukan sepak takraw negara kini hanya berlatih di Bukit Jalil.


“Persatuan Sepak Takraw Malaysia telah meminta untuk dapatkan satu venue spesifik untuk latihan sepak takraw kerana sekarang ini mereka berlatih di Bukit Jalil tetapi hasrat mereka adalah untuk mempunyai satu stadium yang khusus untuk sepak takraw.

Jadi yang itu kita sedang teliti permintaan tersebut dan mungkin kita akan buat ‘partnership’ dengan aset sedia ada yang bermaksud kita tidak mahu bina baru sebaliknya kita mahu tengok mana-mana stadium yang boleh kita jadikan stadium khas untuk sepak takraw,”

katanya.

Tambahnya lagi, perkara tersebut telah dinyatakan ketika perbincangan bersama PSM baru-baru ini.

Hannah berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas majlis perbincangan meja bulat tentang pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas siri II tahun 2024.

Dalam pada itu, Hannah juga memberitahu pihak Majlis Sukan Negara (MSN) juga akan membuat keputusan mengenai permintaan PSM yang mahu menjadikan sukan sepak takraw sebagai sukan teras.

“Perbincangan dengan PSM juga mereka minta untuk sukan sepak takraw dijadikan sebagai sukan teras kerana yang mana perkara itu masih dalam perbincangan oleh MSN.

Dalam tahun ini MSN dijangka akan buat satu keputusan secepat mungkin. Mungkin selepas Sukan Olimpik Paris kerana sekarang ini semua sibuk di Paris.”

Tambahnya lagi, permintaan PSM untuk jadikan sepak takraw sebagai sukan teras kerana ia sukan yang cukup popular dalam kalangan komuniti bandar dan juga luar bandar.

Sementara itu, Hannah juga memberitahu Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim akan menambah imbuhan berjumlah RM10,000 kepada setiap pemain dan jurulatih kebangsaan selepas mereka berjaya menjadi juara berganda pada kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 baru-baru ini.