Isu kualiti burger jadi faktor GTR Burger tarik diri sebagai rakan strategik KDA FC?

57

Hari ini merupakan hari yang Istimewa buat seluruh peminat pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) kerana ia adalah hari pelancaran jersi untuk 2024/2025.

Disebalik keterujaan peminat Sang Kenari menanti pelancaran jersi pasukan kegemaran, timbul pula berita kurang enak apabila GTR Burger telah mengumumkan penarikan diri mereka sebagai rakan strategik bermula hari ini.


Perkara itu diumumkan oleh pihak GTR Burger menerusi satu kenyataan di laman media sosial rasmi mereka tanpa memberikan sebarang punca penarikan diri.

“Salam buat semua penyokong Kedah Darul Aman FC yg saya hormati. Saya telah menemui Tan Sri Dr Daud Bakar siang tadi dan memaklumkan GTR Burger akan menarik diri sebagai rakan strategik KDA FC mulai hari ini.

“Saya juga memohon jutaan ampun dan maaf kepada semua atas segala kesulitan yang berlaku dan mendoakan KDA FC akan terus maju jaya pada masa hadapan.”

Biarpun tidak menyatakan sebab utama mereka menarik diri namun rata-rata peminat seperti mendapat bayangan bahawa penarikan diri GTR Burger mungkin susulan daripada isu kualiti burger yang dibangkitkan oleh peminat baru-baru ini.

Seorang peminat baru-baru ini telah memuat naik foto burger yang dibelinya ketika berada di Stadium Darul Aman yang mana beliau telah meluahkan rasa kecewanya dengan kualiti burger dan perkara itu mendapat maklum balas daripada pihak GTR Burger sendiri.

Bagaimanapun maklum balas pihak GTR Burger itu menjadi kontroversi apabila pihak mereka membangkitkan isu tajaan yang mereka berikan kepada pasukan Hijau Kuning sekaligus menimbulkan kemarahan orang ramai.

Kenyataan itu dikecam hebat oleh orang ramai yang berkata mereka tidak mahu tahu mengenai butiran penajaan sebagainya sebaliknya cukup sekadar permohonan maaf dan berjanji untuk tingkatkan kualiti burger sahaja.

Susulan kontroversi itu, pihak GTR Burger mengeluarkan satu kenyataan permohonan maaf atas keterlanjuran kata-kata yang menyinggung perasaan peminat.

Apa pun pujian harus diberikan kerana GTR Burger berani tampil untuk memohon maaf bagi menjernihkan keadaan dan diharap kedua-dua pihak GTR Burger dan KDA akan maju jaya.