Rahadiazli Rahalim sedia rebut posisi utama dalam skuad Harimau Malaya
Penjaga gol utama Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim memberitahu beliau sudah bersedia untuk merebut posisi utama penjaga gol untuk skuad Harimau Malaya.
Rahadi berkata demikian apabila beliau kini sudah kembali cergas selepas mengalami kecederaan pada bahagian lutut musim lalu.
“Tahun ini tak silap saya ada lima kejohanan antarabangsa, jadi saya harap saya dapat main di kesemua kejohanan itu InsyaAllah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Penjaga gol muda berusia 20 tahun ini mula menjadi perhatian pada musim lalu selepas membuat debut bersama skuad senior TFC di Liga Super ketika menentang Perak.
Sejak penampilan pertamanya, Rahadi telah mendapat kepercayaan daripada ketua jurulatih Nafuzi Zain untuk terus menjadi penjaga gol utama.
Aksi konsistennya telah mendapat perhatian ketua jurulatih skuad Harimau Malaya ketika itu iaitu Tan Cheng Hoe yang memanggilnya menyertai latihan pusat, bagaimanapun hasrat untuk beraksi tidak kesampaian apabila beliau mengalami kecederaan.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapannya untuk musim ini Rahadi berkata fokusnya adalah untuk terus kekal cergas dan elak dari mengalami kecederaan serius.
“Saya harap musim ini dapat bermain seperti biasa dan kalau boleh tidak mahu mengalami kecederaan langsung.”
Tambahnya lagi, beliau masih perlu banyak memperbaiki permainannya bagi memastikan beliau sentiasa berada pada prestasi terbaik untuk mengawal gawang TFC dari dibolosi.
Terdahulu Rahadi menjadi tular dikalangan warganet dek ketinggiannya 1.92 meter sekaligus menjadi antara penjaga gol tertinggi dalam Liga Malaysia.